Buletin

OMODA | JAECOO TERUS UNGGUL, 20,000 KENDERAAN DISERAHKAN KEPADA PELANGGAN MALAYSIA

OMODA | JAECOO Malaysia terus mencipta kejayaan tersendiri apabila mencatat penyerahan kenderaan ke-20,000 di Malaysia, hanya dalam tempoh 14 bulan selepas pelancarannya pada Julai 2024.

Kejayaan ini memperlihatkan pertumbuhan pesat jenama tersebut serta kepercayaan tinggi pengguna tempatan terhadap barisan kenderaan yang ditawarkan.

Pemangku Pengarah Jualan OMODA | JAECOO Malaysia, Clement Yeo, berkata pencapaian itu membuktikan keyakinan kukuh pelanggan terhadap jenama tersebut.

“Mencapai 20,000 pendaftaran dalam masa setahun lebih adalah sesuatu yang amat membanggakan. Ia menandakan penerimaan luar biasa rakyat Malaysia terhadap OMODA dan JAECOO. Pencapaian ini juga sebahagian daripada kejayaan global Kumpulan Chery yang kini telah mengeksport lebih lima juta kenderaan, termasuk lebih 600,000 unit OMODA dan JAECOO,” katanya.

Beliau menambah bahawa syarikat akan terus memperkukuh rangkaian produk dengan teknologi canggih seperti Super Hybrid System, yang digunakan pada model JAECOO J7 PHEV bagi menggabungkan prestasi, penjimatan bahan api dan keselesaan pemanduan.

Majlis sambutan penyerahan kenderaan ke-20,000 itu diadakan di Blossom Glass Mansion, Kuala Lumpur dengan tema “20,000 and Beyond: A Celebration of Trust”. Acara tersebut dihadiri lebih 100 tetamu termasuk pelanggan, pengedar dan rakan media.

Dalam majlis berkenaan, pelanggan ke-20,000, Khirdzir Ali, menerima kenderaan JAECOO J7 PHEV baharunya secara rasmi.

“Saya memilih J7 PHEV kerana gabungan teknologi moden, keselesaan dan nilai yang tinggi dalam kelasnya. Saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini,” katanya.

Sejak diperkenalkan, OMODA | JAECOO Malaysia menawarkan empat model utama iaitu JAECOO J7, JAECOO J7 PHEV, OMODA C9 dan JAECOO J8.

Jenama ini kini mempunyai hampir 50 rangkaian pengedar di seluruh negara, pusat alat ganti khusus serta kemudahan pemasangan tempatan di Shah Alam.

Dengan jualan memberangsangkan, OMODA | JAECOO kini berada dalam kelompok lima jenama automotif paling popular di Malaysia bagi separuh pertama tahun 2025.

Kejayaan ini turut sejajar dengan pencapaian antarabangsa Kumpulan Chery, yang mengekalkan kedudukan sebagai peneraju eksport automotif China selama 22 tahun berturut-turut.

Pada Julai lalu, Chery melonjak ke kedudukan ke-233 dalam senarai Fortune Global 500 dan ke-59 dalam Fortune China 500, sekali gus menunjukkan pertumbuhan pantas syarikat tersebut di peringkat global.

Sempena pencapaian ini, OMODA | JAECOO Malaysia turut melancarkan promosi eksklusif sehingga 31 Disember 2025, termasuk servis percuma selama tujuh tahun atau ganjaran bernilai RM5,000 bagi setiap pembelian JAECOO J7 PHEV baharu.

Promosi turut ditawarkan untuk model J7 2WD, J7 AWD, C9 2WD dan C9 AWD dengan pakej pembiayaan menarik.

Acara sambutan berkenaan turut mempamerkan model JAECOO J5 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, selain pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti bengkel kipas lakuer, sesi karikatur dan cabutan bertuah.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Irene Tee, pemilik JAECOO J7 AWD yang telah mencatatkan jarak lebih 70,000 kilometer dalam tempoh kurang setahun – bukti ketahanan dan kualiti kenderaan keluaran OMODA | JAECOO.

Melalui pencapaian ini, OMODA | JAECOO Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai jenama SUV premium pilihan rakyat Malaysia.

Google ads
Back to top button