
AFAZ LANCAR KAPCAI ENJIN SUZUKI 115CC HUJUNG BULAN INI?
Selepas pelbagai desas desus, kami difahamkan bahawa jenama motosikal tempatan baharu, AFAZ, bakal debut di Malaysia pada penghujung bulan Oktober ini.
Perkara itu disahkan sendiri Pengarah Urusan Kumpulan AFY Mobility Industries (AMI), Dato’ Jeffery Lim ketika majlis pelancaran motosikal KOVE Moto di Kev Advenduro Park, Gamuda Gardens, Rawang pada Selasa.

Ketibaan model serba baharu itu sudah pun dijangka apatah lagi selepas Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMI memuat naik ‘teaser’ di media sosial baru-baru ini.
Bagaimanapun, kami dimaklumkan bahawa model pertama yang bakal dilancarkan adalah kapcai bersesaran 115cc dengan model 150cc pula akan diperkenalkan tahun depan.
Menurut info diperolehi, model 115cc tersebut juga akan mengguna pakai enjin dan casis dari model sedia ada Suzuki. Namun begitu, AFAZ telah menyuntik pelaburan besar bagi pembangunan motosikal berkenaan.

Meskipun spesifikasi enjin tersebut tidak dinyatakan namun memandangkan mengguna pakai platform Suzuki, terdapat kemungkinan model 115cc itu akan mengguna pakai enjin yang sama terdapat pada Suzuki Smash Fi yang dipasarkan di Filipina ketika ini.

Walaupun bayangan harga tidak dinyatakan namun Dato’ Jeffrey memaklumkan bahawa harga ditawarkan adalah setaraf dengan kualiti yang ditawarkan.
Kerjasama antara AFAZ dan Suzuki merupakan satu perkembangan menarik bagi pasaran motosikal tempatan dan pelancaran model pertama itu pastinya mencuri perhatian ramai.




