Motosikal

ONEXOX TKKR UMUM TARIK DIRI MOTO2 MUSIM 2021. APA NASIB KASMA DANIEL?

Penaja utama pasukan SAG Team, Onexox TKKR hari ini mengumumkan untuk menarik diri daripada saingan Moto2 musim 2021. 

Memetik laporan MotoMalaya, perkara itu dinyatakan sendiri oleh pengendali Onexox TKKR, Datuk Bobie Farid Shamsudin menerusi satu siaran lansung di laman Facebook Onexox TKKR SAG Team, hari ini.

Menurut Bobie, keputusan suka ritu diambil selepas menimbang pelbagai aspek terutama langkah pasukan dari Indonesia, Mandalika Racing Team (MRT) yang mendakwa telah memeterai perjanjian kerjasama dengan SAG Team. 

Bobie turut menegaskan bahawa penarikan diri Onexox bukanlah kerana isu bankrap seperti yang didakwa oleh MRT sebelum ini, tetapi lebih kepada enggan untuk terpalit dalam kontroversi tersebut. 

“Kami tiada masalah apa-apa dan SAG Team juga tidak membuat salah apa-apa. Cuma dalam keadaan tersepit begini masing-masing akan mencari jalan terbaik untuk ke hadapan. 

“Saya mengambil keputusan ini atas nasihat beberapa individu rapat supaya kita dapat kembali ke meja perancangan dan buat strategi baharu untuk kembali satu hari nanti. Saya harap benda ini jelas,” tegasnya.

Jadi, bagaimana pula dengan nasib pelumba negara, Kasma Daniel Kasyamudin yang masih mempunyai kontrak selama dua tahun dengan pasukan berkenaan? Untuk makluman, Kasma telah menandatangani kontrak untuk tiga tahun dengan SAG Team. 

“Keputusan terletak di atas tangan mereka. Kalau dilihat kepada pengumuman rasmi daripada MRT, pasukan itu akan dikemudi oleh Thomas Luthi dan Kasma Daniel. 

“Walaupun tiada sebarang pengesahan daripada SAG Team, tetapi sudah ada perbincangan di antara MRT dan SAG Team. Kami tidak mahu berada di tengah-tengah keadaan ini,” katanya lagi.

Terdahulu, timbul laporan Kasma akan digantikan dengan pelumba Indonesia, Dimas Ekky Pratama.

Mengulas mengenai dakwaan pihaknya mengalami masalah kewangan seperti yang digembar-gemburkan, Bobie menyatakan dia perlu realistik dalam menangani perkara ini. 

“Isu ini menjatuhkan reputasi kami sehingga ada yang mendakwa kami bankrap dan sebagainya. Untuk pengetahuan, jumlah yang dipersetujui untuk SAG Team pada tahun ini adalah 1.2 juta euro (RM5.8 juta). 

“Namun, apabila Covid-19 melanda dan perlumbaan tidak dapat berlangsung seperti yang dijadualkan,  kami ada membuat pengurangan daripada jumlah yang dipersetujui,” jelasnya.

Bobie juga mengakui Onexox TKKR akan terus beraksi di pentas Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC). – MotoMalaya

Google ads
Back to top button