KERAJAAN SEDIA GUNA KAMERA DASHBOARD PADA KENDERAAN AGENSI PENGUATKUASAAN
Kerajaan tidak menolak untuk melaksanakan pemasangan kamera dashboard atau dashcam bagi kenderaan agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, kementerian itu sedia mengadakan perbincangan dengan agensi lain bagi memastikan langkah tersebut sah di sisi undang-undang dan dapat digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.
Katanya, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat untuk membekalkan alat atau peranti yang dapat digunakan sebagai bahan bukti di peringkat proses perundangan.
“Kita sedar ada negara yang boleh kita jadikan rujukan seperti United Kingdom, Perancis dan Rusia. Tapi negara seperti Austria tidak benarkan dan Switzerland tidak menggalakkan kerana ia melanggar hak persendirian.
“Bagaimanapun, penggunaan ini bawa manfaat dan kita sedar kamera ini dapat bantu agensi untuk lakukan siasatan.
“Kita boleh duduk bersama berbincang dengan agensi bagaimana mahu (hal itu) dibenarkan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PKR – Ledang) ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, Hasbi (GPS – Limbang) berkata, pihaknya tidak bercadang untuk mewajibkan pemasangan alat berkenaan dalam kenderaan buat masa ini.
Katanya, perkara itu perlu diteliti dan diperhalusi memandangkan kementerian masih tidak mempunyai piawaian dan standard di peringkat antarabangsa mahupun tempatan yang khusus berhubung spesifikasi tersebut.
Bagaimanapun katanya, kerajaan tiada halangan untuk mana-mana pihak menggunakan alat tersebut selagi ia tidak melibatkan pengubahsuaian kenderaan dan menjejaskan fokus pemanduan. – Awani
- BACA: KERETA YANG DIREMPUH MOTOSIKAL SEMALAM RUPANYA WARGA SINGAPURA
- BACA: HANYA DUA ORANG SAHAJA YANG BAYAR SAMAN KAMERA AWAS
- BACA: AGENSI PENGUATKUASAAN DADAH DAN TENTERA LAUT COLUMBIA RAMPAS KAPAL SELAM BAWA DADAH
- BACA: BENGANG KENA SAMAN, LELAKI INI RAKAM 400 GAMBAR KESALAHAN PARKIR PEGAWAI PENGUATKUASAAN