,
BuletinMotosikal

AZLAN JUARA ARRC 2019! TEWASKAN PASUKAN KAYA!

DI pusingan terakhir FIM Asia Road Racing Championship , Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan ONEXOX TKKR SAG Team muncul juara pertama dalam kelas 1000cc (ASB1000) yang berlangsung di litar Chang International Circuit di Buriram, Thailand.

Beliau mengharumkan nama Malaysia dengan muncul sebagai pelumba pertama yang akan dicatatkan dalam kejuaraan Superbike Asia pertama ini.

Ia bukan satu pencapaian yang mudah. Kelas ASB1000 ini menyaksikan pertarungan sengit di kalangan pasukan perlumbaan profesional yang jauh lebih kaya, mahal dan didokong oleh pengeluar. Sedangkan Azlan hanya bernaung dalam pasukan kecil ONEXOX TKKR SAG dengan segala perbelanjaan dicatu. Malah, mereka membeli sendiri motosikal BMW S1000RR yang digunakan dalam perlumbaan ini. Ia tidak ditaja oleh BMW sekalipun.

Azlan berentap dengan Zaqhwan Zaidi (Honda Asia Dream Racing dengan SHOWA), yang masih berpeluang untuk muncul juara setelah memenangi perlumbaan 1. Secara matematiknya, beliau berpeluang menjadi johan dengan harapan Azlan dan Broc tidak memungut sebarang mata dalam perlumbaan kedua.

Selain Zaqhwan, calon yang paling hampir untuk merebut kejuaraan ini ialah Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) yang memulakan pelrumbaan di petak kedua.

Namun tuah nampaknya milik Azlan. Semenjak bermulakan kelas ASB1000 tahun ini, Chang International Circuit merupakan litar yang sangat bagus untuk jentera BMW. Azlan memimpin 13 pusingan perlumbaan diekori Zaqhwan pada pusingan pertama namun kepantasan pelumba otai ini menjarakkan kedudukannya sehingga 3.9 saat pada lap ke-5.

Azlan juga bernasib baik apabila Broc gagal mempamerkan aksi menarik dengan perbezaan jarak 5.7 saat pada lap ke 6. Tanpa menoleh ke belakang, Azlan meneruskan konsistensi di litar dan menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 20’57.034s. Zaqhwan berada di tempat kedua diikuti Thitipong Warokorn (Kawasaki Thailand Racing Team) di tempat ketiga.

Di akhir perlumbaan, Azlan mengutip 238 mata sekaligus meletakkannya sebagai juara keseluruhan musim. Azlan juga merupakan juara kelas Supersport 600cc pada 2013 dan 2017. Broc menamatkan kejuaraan di tempat kedua dengan keseluruhan 225 mata diikuti Zaqhwan ketiga dengan 211 mata.

BACA: AZLAN KECEWA, KEJAYAANNYA TIDAK DIHARGAI…

Google ads
Back to top button