Buletin

HALANG JALAN, POLIS SAMAN GENG KERETA MEWAH

Baru-baru ini tular satu video memaparkan pemandu kereta mewah menghalang laluan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau Jambatan Kedua.

Sehubungan dengan itu, polis dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kesemua pemandu berkenaan telah di saman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, pihaknya terkesan dengan rakaman video berdurasi dua minit 50 saat itu yang dimuat naik ke dalam akaun Tik Tok milik seorang pengguna atas nama ‘panglimaperang’ kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Beliau berkata, rakaman tersebut menunjukkan deretan kereta mewah dipandu secara perlahan serta menghalang lalu lintas seperti didakwa.

“Siasatan lanjut mendapati, kejadian berlaku pada 9 Jun (Jumaat) kira-kira pukul 12.30 tengah hari bermula dari KM (Kilometer) 3.8 dari arah Batu Kawan sehingga KM9.0 arah ke Batu Maung.

“Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kertas siasatan juga dibuka di bawah Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu Kaedah 16 (1) LN 167/59 kerana melakukan halangan lalu lintas,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd. Norazmi, kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam, kesemua pemandu berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS untuk memberikan keterangan dan dikenakan saman. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button