Buletin

PAKAI TOPENG MUKA KETIKA  BEKERJA, PEMANDU TEKSI DIGANTUNG TUGAS SELAMA 3 HARI

Seorang pemandu teksi di wilayah Zhejiang, China digantung tugas kerana didapati memakai topi muka ketika sedang bekerja.

Menurut laporan South China Morning Post, Chen Yiqun mahu menyegarkan diri sewaktu bekerja pada shift malam.

Aksi Yiqun dirakam oleh seorang wanita sewaktu dia hendak mengisi minyak, sebelum gambar tersebut dikongsi di laman sosial. Gambar yang tular itu menerima pelbagai reaksi lucu daripada netizen.

“Seorang pemandu teksi yang menjaga imej diri. Gadis-gadis sekalian, sila ambil perhatain, anda perlu menjaga kecantikan kulit tidak kira di mana anda berada,” tulis seorang netizen.

Biarpun begitu, polis trafik tidak kagum dengan gaya Chen dan berjaya menjejaknya. Dia kemudian diberi amaran keras oleh polis. Manakala majikannya menggantung tugas Chen selama tiga hari.

Polis mendakwa topeng muka itu boleh jatuh dan menghadkan pandangan Chen. Perbuatan itu juga dikatakan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Biarpun tiada undang-undang khusus yang menghalang pemakaian topeng muka ketika memandu, pesalah tetap akan diberi amaran oleh polis trafik.

Pada Januari lalu, seorang wanita ditahan kerana memakai topeng muka rumpai laut ketika polis mengadakan sekatan jalan untuk menahan pemandu mabuk.

Chen yang obses terhadap kecantikan diri memberitahu dia pernah berbelanja sehingga 30,000 yuan (RM18,000) dalam satu sesi membeli-belah. Selain membantu isterinya memilih produk kecantikan yang sesuai.

Chen merupakan salah seorang pengguna yang menyumbang kepada lonjakan industri kecantikan kaum lelaki di China yang dianggarkan bernilai AS$3 bilion (RM12.5 bilion) menjelang tahun 2022.

Google ads
Back to top button