
KENAPA PENGELUAR TAK PAYUNG JAMINAN KALAU BUAT TEKSI ATAU GRAB?
Setiap kali timbul isu membabitkan penggunaan sesebuah model sebagai teksi atau kenderaan e-hailing, perbincangan selalunya tertumpu kepada jenama atau model yang digunakan. Namun apa yang jarang disebut ialah di kebanyakan negara maju, kenderaan yang dibina untuk kegunaan komersial sebenarnya mempunyai spesifikasi yang berbeza berbanding model yang dijual kepada pengguna biasa.
Ramai pengguna beranggapan sebuah teksi hanyalah kereta penumpang yang dipasang meter tambang, pelekat dan lampu di bahagian bumbung. Tetapi beberapa pengeluar automotif dunia menawarkan varian khas untuk kegunaan armada atau fleet, khususnya bagi industri teksi.
Walaupun reka bentuk luaran kelihatan hampir sama, terdapat beberapa komponen yang direka untuk menampung penggunaan yang jauh lebih lasak sepanjang hayat kenderaan.
Antara komponen yang sering diberi perhatian ialah sistem suspensi yang lebih kukuh bagi menampung beban penumpang secara berterusan, fabrik tempat duduk yang lebih tahan lasak, kusyen dengan ketumpatan lebih tinggi, mekanisme pintu yang direka untuk dibuka dan ditutup ratusan kali sehari, selain penggunaan getah pengedap pintu yang lebih lasak.

Dalam sesetengah kes, komponen sistem elektrik turut dipertingkatkan menerusi penggunaan alternator dan bateri berkapasiti lebih besar bagi menyokong pelbagai aksesori tambahan seperti meter tambang, sistem komunikasi dan lampu teksi.
Semua perubahan ini dibuat atas satu tujuan iaitu tahan lasak dan mengurangkan tempoh kenderaan tidak dapat beroperasi akibat penyelenggaraan dan kerosakan. Bagi syarikat atau pengendali armada, setiap jam kenderaan berada di bengkel bermaksud kehilangan pendapatan.
Jadi ketahanan dan kebolehpercayaan menjadi keutamaan berbanding ciri-ciri yang lebih fokus kepada keselesaan pengguna persendirian. Perbezaan ini menjadi lebih penting apabila melihat kepada corak penggunaan sesebuah kenderaan.
Sebuah kereta persendirian lazimnya dipandu sekitar 15,000 hingga 25,000 kilometer setahun. Sebaliknya, sebuah teksi atau kenderaan komersial boleh mencatatkan jarak perjalanan antara 80,000 hingga lebih 150,000 kilometer dalam tempoh yang sama, bergantung kepada lokasi dan jenis operasi.

Ini bermakna hampir semua komponen mekanikal akan mengalami kadar kehausan yang jauh lebih tinggi. Atas sebab itu juga, ramai pengguna tidak menyedari bahawa syarat waranti bagi penggunaan komersial lazimnya berbeza daripada penggunaan persendirian.
Di kebanyakan pasaran global, pengeluar menetapkan syarat khas bagi kenderaan yang digunakan sebagai teksi, e-hailing, kereta sewa atau sekolah memandu. Ada yang menawarkan pakej waranti komersial tersendiri, manakala ada juga yang mengehadkan perlindungan waranti standard sekiranya kenderaan digunakan untuk tujuan menjana pendapatan.
Pendekatan ini bukan bertujuan menyukarkan pemilik, sebaliknya mengambil kira corak penggunaan yang jauh lebih ekstrem. Sebuah kereta yang dipandu sehingga 100,000 kilometer setahun sudah tentu memberikan tekanan yang berbeza kepada enjin, transmisi, sistem brek, suspensi dan penghawa dingin berbanding sebuah kereta persendirian yang hanya digunakan untuk perjalanan harian.
Salah satu contoh paling terkenal ialah Mercedes-Benz E-Class yang telah beberapa dekad menjadi ikon teksi di Jerman. Apa yang ramai tidak tahu, Mercedes-Benz pernah menawarkan Taxi Package terus dari kilang untuk model tersebut.

Pakej itu merangkumi beberapa ciri khusus seperti pendawaian sedia ada untuk pemasangan meter teksi, sistem elektrik tambahan serta pilihan kemasan dalaman yang lebih tahan lasak bagi memenuhi keperluan operasi harian.
Justeru, E-Class yang digunakan sebagai teksi di Jerman bukan sekadar model penumpang biasa yang ditukar warna dan dipasang meter. Pendekatan sama turut dapat dilihat di beberapa negara lain termasuk Jepun, di mana pengeluar menawarkan model atau varian yang lebih sesuai untuk kegunaan armada.
Fokus utama bukanlah prestasi atau kemewahan, sebaliknya ketahanan, kos penyelenggaraan yang rendah serta kebolehpercayaan untuk beroperasi dalam tempoh yang panjang tanpa mengalami kerosakan serius.
Namun di Malaysia pula situasinya agak berbeza kerana sejak sekian lama, kebanyakan teksi menggunakan model penumpang sedia ada yang kemudiannya diubah suai mengikut keperluan operasi. Kita tidak mempunyai budaya yang begitu meluas di mana pengeluar menawarkan varian “Taxi Package” secara rasmi seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah.

Oleh sebab itu, kebanyakan kenderaan komersial tempatan seperti teksi dan e-hailing menggunakan spesifikasi yang hampir sama dengan model pengguna biasa, kecuali beberapa pengubahsuaian yang dibuat oleh pengendali.
Perkara yang sama turut menjelaskan mengapa sesetengah pengeluar mempunyai syarat waranti yang berbeza bagi kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing atau komersial. Ia bukan semata-mata soal enggan memberikan perlindungan waranti, tetapi lebih kepada mengambil kira kadar penggunaan yang jauh lebih tinggi berbanding sebuah kereta persendirian.
Tidak semua kenderaan yang dijadikan teksi mempunyai spesifikasi khas. Namun kebanyakan pasaran automotif utama dunia, memang wujud konsep kenderaan komersial atau fleet specification yang dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan operasi harian yang jauh lebih mencabar.







