Buletin

APLIKASI DIGODAM, PULUHAN TEKSI TUJU TEMPAT SAMA CETUS HURU-HARA DI MOSCOW

Apabila melibatkan aplikasi, ada banyak perkara perlu diambil kira. Keselamatan data, privasi dan risiko digodam. Kata paling tepat, ia dicipta oleh manusia, maka manusia juga akan merosakkannya.

Ini terjadi di Moscow, Rusia apabila satu aplikasi perkhidmatan teksi digodam dan menimbulkan huru-hara. Penggodam yang belum dikenal pasti itu didakwa mengarahkan setiap teksi di kawasan terbabit pergi ke satu tempat untuk mengambil penumpang yang sama. Akibatnya, berlaku kesesakan lalu lintas dan kelewatan berlarutan dari 40 minit menjadi dua jam.

Menerusi satu klip video, boleh dilihat begitu banyak teksi menunggu penumpang yang sebenarnya tidak wujud. Polis di kawasan tersebut juga seolah-olah tidak berdaya mengawal situasi tersebut.

Beberapa akaun Twitter mendakwa insiden itu ada didalangi oleh Anonymous, kumpulan hacktivist IT yang bekerja dengan tentera Ukraine. Namun, masih belum ada kepastian dan identiti penggodam juga tidak jelas.

Cyberwarfare telah melanda Eropah sejak Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu. Kumpulan penyokong Ukraine dilihat mula mensasarkan organisasi di Rusia untuk membantu negara itu bertahan daripada pencerobohan.

Anonymous sebelum ini mengaku bertanggungjawab atas serangan siber yang meruntuhkan beberapa laman web kerajaan Rusia, termasuk yang dimiliki oleh Kremlin dan Kementerian Pertahanan. “Berdepan dengan siri serangan yang dialami oleh Ukraine daripada diktator Rusia Vladimir Putin, kami tidak dapat membantu tetapi menyokong rakyat Ukraine,” kata kumpulan itu.

Dalam satu kenyataan kepada media Rusia, aplikasi Yandex memberitahu wujud pelanggaran dan bukan hanya gangguan pada aplikasinya. Yandex mengatakan algoritma yang digunakan untuk menguruskan teksi akan diubah supaya kejadian sebegitu tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Pampasan kepada semua pemandu yang hadir mengambil penumpang palsu itu juga akan diselesaikan.

Google ads
Back to top button