PARKIR DI KAWASAN GAZET, PEMILIK KERETA DILANGGAR LORI TIDAK BOLEH BUAT TUNTUTAN GANTI RUGI
Pemilik 10 buah kenderaan yang rosak akibat dilanggar oleh sebuah lori di kawasan Kompleks E, Putrajaya nampaknya bakal berputih mata.
Sebabnya, mereka tidak boleh membuat sebarang tuntutan kerana lokasi kejadian telah digazetkan sebagai kawasan yang tidak dibenarkan untuk parkir sebarang kenderaan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Tiada sebarang tuntutan ganti rugi yang boleh dibuat oleh mangsa yang terlibat memandangkan kawasan atau laluan tersebut telah digazetkan sebagai kawasan yang tidak dibenarkan parkir,” katanya.
Polis mengesahkan pemandu lori yang terbabit melanggar lebih 10 buah kereta berkenaan sudahpun dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A.Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, pemandu lori berkenaan akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi memberi keterangan.
“10 daripada pemilik kereta yang terbabit kejadian itu sudah hadir ke IPD Putrajaya untuk membuat laporan. Kes disiasat mengikut Sekyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Difahamkan, polis akan mengadakan operasi di laluan itu bagi menghalang pengguna meletakkan kenderaan dan boleh mengeluarkan saman kepada mereka yang engkar.
Terdahulu, tular satu klip video di laman sosial memaparkan sebuah lori melanggar lebih 10 buah kereta. Pelanggaran itu menyebabkan kereta-kereta terbabit mengalami pelbagai kerosakan seperti kesan calar dan cermin sisi patah. – K! ONLINE