
LAND ROVER DEFENDER 110 MENDARAT DI MALAYSIA. 2 VARIAN, HARGA BERMULA RM798K
Jaguar Land Rover Malaysia melancarkan jentera ikonik yang diberi nafas baharu, Land Rover Defender 110.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz sederhana dengan sistem pacuan 4 roda terbaik dalam segmennya ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.0L Ingenium dan 3.0L MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle)
Varian 2.0L Ingenium ditawarkan pada harga bermula RM798,800 manakala 3.0L MHEV didatangkan pada tag harga bermula RM998,800 (harga termasuk pengecualian 50% Cukai Jualan Penjana, tidak termasuk Cukai Jalan, Pendaftaran dan Insurans.

Jentera dinobatkan sebagai World Car Design of the Year 2021 itu menawarkan lima pilihan warna iaitu putih (Fuji White), hitam (Santorini Black), hijau (Pangea Green), perak (Silicon Silver) dan tembaga (Gondwana Stone).
Selain pilihan warna badan, jentera terbaharu berkenaan didatangkan tiga warna kabin iaitu hitam (Ebony/Ebony), hijau/hitam (Khaki/Ebony) atau perang/hitam (Acorn/Lumar).
Defender dibangunkan kerangka baharu dan rekabentuk badan D7x yang dibangunkan berasaskan struktur monokok aluminium ringan.
Dari segi rekaan, ia hadir dengan set lampu utama Matrix LED automatik dengan lampu siang (DRL), lampu kabus depan dan belakang manakala lampu brek ketiga dipasang lebih tinggi.

Ia turut menawarkan kamera Keliling 3D dengan perspektif 3D baharu dan pandangan atas 360° menjadikan kawalan pemanduan lebih mudah.
Bahagian bumbung pula, mendapat sentuhan warna sama dengan warna badan dan terdapat cladding kelabu pada bahagian bawah bampar depan, sisi hingga ke bampar belakang.
Pintu kargo belakang dipadankan engsel sisi dan tayar ganti dipasang pada bahagian atas yang cukup sinonim dengan jentera Land Rover.

Pemijak kaki sisi akan dibuka secara automatik jika anda membuka pintu dan dilipat ke dalam sebaik pintu ditutup. Rim digunakan bersaiz 20 inci dengan tayar off-road.
Ruang kabin dilengkapi elemen struktur terdedah dan teknologi terkini seperti sistem infotainmen Pivi Pro yang dipadankan sistem bunyi Meridian dari Britain.
Pandangan off-road dipermudahkan melalui inovasi ClearSight Ground View dalam memberi keyakinan kepada pemandu merentasi pelbagai permukaan bumi.

Inovasi ClearSight cermin pandang belakang memberi pandangan tanpa halangan walaupun terdapat penumpang yang tinggi di tempat duduk belakang atau pun ruang kargo ditimbuni alatan perkhemahan, perabot serta kotak-kotak.
Ia menggunakan kamera pasang belakang yang memaparkan sudut pandangan luas dari belakang kenderaan melalui cermin pandang belakang.
Ciri-ciri kemudahan lain termasuk Head-up Display, ClearSight cermin pandang belakang dan sistem unit integrasi Click and Go.

Defender 2.0L Ingenium mampu menjana kuasa 300 PS dan tork 400 Nm.
Varian 3.0L MHEV pula menampilkan twin-scroll turbocharge dan supercharger 48-volt mampu menjana kuasa 400PS dan tork 500Nm.
Ia mampu memecut pada kelajuan 0-100km/j dalam masa 6.1 saat

Ia boleh menunda dan membawa bebanan berat dengan rak bumbung dan sistem bar tunda dengan kapasiti tundaan seberat 3,500kg.
Bahkan, mampu membawa bebanan maksimum bumbung statik sehingga 300kg.
Rekabentuk badan jentera itu memberi jarak kelegaan bumi setinggi 291mm dengan jarak roda sepanjang 3,022mm (99mm lebih panjang daripada Discovery).
Defender 110 memiliki sudut breakover 28 darjah memberikan geometri off-road yang unggul.
Selain itu, kedalaman meranduk sedalam 900mm diperkuat melalui program Wade baharu yang terdapat dalam sistem Terrain Response bagi memastikan pemandu dapat meredah air dengan yakin.

Jentera terbaharu itu dilengkapi sistem suspensi udara Adaptive Dynamics turut mampu memantau pergerakan badan Defender sehingga 500 kali sesaat.
Ia mampu meninggikan badan Defender sehingga 145 mm sementara ciri Elegant Arrival pula merendahkan ketinggian sehingga 140 mm untuk memudahkan urusan keluar masuk.
Kehadiran sistem Elegant Arrival turut berupaya menurunkan badan Defender sehingga 40mm secara automatik untuk memudahkan pergerakan keluar masuk.
Setiap pembelian Defender didaftarkan pada 2021 sempena sambutan ulangtahun kerjasama Sime Darby and Land Rover yang ke-40 berpeluang memperoleh jam tangan Land Rover Heritage bernilai RM2,288 (sementara stok masih ada).
Kesemua kenderaan Land Rover didatangkan dengan program Land Rover Care meliputi waranti lima tahun, servis percuma lima tahun dan bantuan sisi jalan raya selama tiga tahun.
- BACA: LAND ROVER DEFENDER 110 2021 LANCAR 21 OKT INI. 2 PILIHAN ENJIN. BANYAK CIRI BAHARU
- BACA: LAND ROVER MAHU BINA DEFENDER LEBIH MEWAH. PLATFORM MLA, RANGKAIAN KUASA ICE, PHEV DAN BEV
- BACA: LAND ROVER V8 BOND EDITION. RAI KERJASAMA 38 TAHUN. TERHAD 300 UNIT SAHAJA, BERMULA RM476K
- BACA: LAND ROVER DEFENDER WORKS V8 TROPHY. TERHAD 25 UNIT, BERMULA RM1.08 JUTA
GALERI: