
PECUTAN HONDA CIVIC TYPE R FL5 LEBIH PANTAS, INI 2 SEBABNYA.
Kalau anda menonton video promosi Honda Civic Type R yang dihasilkan dan dipaparkan di saluran Youtube pada 21 Julai yang lepas, anda akan perasan bahawa tiada satupun angka rasmi yang disebut oleh jurutera Honda berkenaan dengan kuasa yang dihasilkan oleh enjin Civic Type R.
Apa yang dijanjikan ialah Civic Type R FL5 adalah paling laju, paling kuat pecutannya dan paling menyeronokkan. Bunyi seperti sembang kosong tapi berdasarkan gambar dan info terkini di laman sesawang kami rasakan apa yang didakwa dalam video di bawah adalah benar.
Terdapat 2 bukti kukuh yang mengatakan Honda Civic Type R FL 5 adalah paling kuat pecutannya. Yang pertama ialah saiz sport rim yang digunakan telah dikecilkan daripada saiz jejari 20 inci kepada 19 inci sahaja. Honda Civic Type R lama menggunakan tayar bersaiz 245/30 R20dan dibalut dengan menggunakan tayar Continental ContiSport6

Setelah dikira, saiz gabungan rim dan tayar menghasilkan diameter 655mm. Bagi versi terbaru ia menggunakan saiz 265/30 R19 dan menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 4S. Setelah dikira, diameter keseluruhan gabungan tayar dan rim 19 inci ialah 643mm
Ya kalau anda perasan dengan semua angka ini, saiz roda Honda Civic Type R FL5 mengecil daripada 655mm kepada 643mm. Ia merupakan perubahan yang kecil, tapi sebenarnya memberi impak yang besar kerana saiz yang kecil menjadikan rolling resistance menjadi semakin kecil.
Ditambah pula dengan rim 19 adalah lebih kecil dan lebih ringan berbanding dengan rim 20 inci walaupun kedua-duanya dihasilkan dengan menggunakan kaedah forging. Maka saiz yang kecil dan rim yang ringan ini akan membantu Honda Civic Type R mendapat pecutan yang lebih baik terutama di jalan lurus.

Faktor kedua pula ialah jika anda lihat trend penggunaan enjin K20C yang digunakan semenjak model Honda Civic Type R FK2, kuasa enjin telah ditambah secara perlahan-lahan walaupun kod enjin adalah sama. Pada model FK2, enjin K20C ini menjana sekitar 310PS atau 306 kuasa kuda.
Kuasa enjin meningkat kepada 320PS atau 316 kuasa kuda apabila ia digunakan pada model FK8. Mengikut ramalan kami, apabila digunakan pada model Civic Type R FL5 kuasa enjin akan meningkat kepada 330PS atau 326 kuasa kuda. Dan telahan kami ini ternyata benar

Satu laman web iaitu Tires Meet Road mendedahkan spesifikasi enjin talaan terbaru ini secara tidak sengaja melalui satu brosur jualan. Enjin K20C talaan baru ini menjana 326 kuasa kuda pada 6500 RPM dan 420Nm tork daripada 2400-4000 RPM. Talaan baru ini menghasilkan 10 kuasa kuda dan 20Nm tork tambahan
Apabila kuasa kuda enjin meningkat dan digabungkan dengan saiz roda yang dikecilkan sedikit, maka kami yakin pecutan Civic Type R FL akan menjadi lebih pantas dengan catatan masa kurang daripada 5.8 saat.