
MASERATI MC20 GT2, KEPULANGAN SEMULA JENAMA TRIDENT DALAM PERLUMBAAN GT2
Dengan pengenalan model Maserati MC20 GT2, ia sekaligus menandakan kemunculan semula jenama Trident itu ke dalam kejuaraan GT2 selepas kali terakhir menceburi perlumbaan tersebut antara 2004 hingga 2010 menerusi model MC12.
Maserati MC20 GT2 ini akan membuat kemunculan rasmi di acara Fanatec GT2 European Series Championship pada tahun depan.
Menggunakan asas daripada model jalanan MC20, jentera GT2 ini direka untuk memenuhi piawaian FIA sebagai sebuah jentera litar lumba dengan tempat duduk tunggal.

Ia masih lagi menggunakan enjin 3.0 liter turbo berkembar V6, namun tiada sebarang angka output didedahkan buat masa ini.
Enjin Nettuno itu dipadankan dengan kotak gear perlumbaan jenis sekuential yang menyalurkan kuasa kepada roda belakang, dibantu dengan klac perlumbaan dan LSD mekanikal.
Bahagian luar jentera ini menggunakan kit badan perlumbaan GT2 yang dihomologasikan untuk memastikan daya turun maksimum seperti yang telah ditetapkan oleh FIA.
Selain itu, ia juga turut dilengkapi dengan tali pinggang perlumbaan enam poin, roda stereng gentian karbon, kamera kabin, sistem pendingin hawa, ABS perlumbaan boleh laras, sistem pemantauan tekanan tayar serta beberapa ciri opsyen lain.