Buletin

PEMANDU VAN LANGGAR LARI, SERET SUPERBIKE SAMPAI BERAPI DI LEBUH RAYA

Sudahlah langgar lari, seret pula superbike mangsa. Insiden pelik ini berlaku sepanjang lebuh raya 91 Coronona, California, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.

Menurut Peronda Lebuhraya California, seorang lelaki yang memandu van telah merempuh sebuah superbike Honda.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, pemandu berkenaan mengambil keputusan untuk terus memandu kenderaannya dari tempat kejadian ketika motosikal masih tersangkut di bahagian hadapan van.

Tindakan lelaki itu mengakibatkan percikan api di sepanjang lebuhraya sehingga menarik perhatian pemandu lain.

Penunggang motosikal itu bagaimanapun bernasib baik kerana dia tidak berada di atas jenteranya apabila pemandu tersebut melarikan diri.

Pihak peronda polis menganggarkan motosikal ditunggang pada kelajuan kira-kira 104km/j, manakala van 112km/j.

CBS Local melaporkan penunggang mengadu sakit di bahagian tangan dan kaki ketika di tempat kejadian, tetapi tidak mengalami kecederaan serius.

Individu yang merakam video insiden terbabit telah mengekori pemandu van, sebelum menemui motosikal diseret sehinga rosak teruk di tepi lebuhraya. Van pula berada berdekatan superbike itu setelah melanggar pagar.

Difahamkan, pemandu van, George Valentin, 25, melarikan diri setelah van terbabas. Dia ditahan polis pada hari berikutnya atas tuduhan langgar lari.

Penunggang motosikal, Chain Arunritthirot berkata dia tercampak beberapa meter selepas dirempuh van.  

“Saya merasakan seolah-olah lelaki ini ingin membunuh saya! Ia seperti disengajakan macam dia sedang memburu saya,” katanya kepada CBS2/KCAL9. – carscoops.

Google ads
Back to top button