BuletinMotosikal

DUCATI PANIGALE SUPERBIKE TERLARIS DUNIA 2019!

Dunia motosikal dilihat adil apabila pengeluar mempunyai bahagian masing-masing. Sebagai contoh, Honda mendominasi perlumbaan MotoGP manakala Kawasaki di dalam WSBK.

Ducati pula berjaya dalam memikat hati ramai pelanggan dengan mendominasi segmen superbike tahun 2019. Dalam saingan itu, jualan Panigale mencecah 8,304 unit dengan pegangan pasaran sebanyak 25 peratus.

Angka jualan itu membolehkan Panigale menduduki tangga peneraju yang sama pada 2018.

Secara keseluruhannya, Ducati Motor Holding berjaya menjual 53,183 unit motosikal pada 2019. Angka jualan global itu tinggi sedikit berbanding tahun lalu dengan jumlah 53,004 unit.

Dua motosikal yang diperkenalkan pada 2019 iaitu Hypermotard 950 dan Diavel 1260 masing-masing mencatat jualan 4,472 dan 3,129 unit.

Siri Multistrada juga memperolehi jualan yang baik dengan peningkatan tiga peratus berbanding 2018.

Jualan itu antaranya disumbangkan oleh penawaran 950 S dan 1260 Enduro yang dipertingkatkan. Angka jualan siri Multisrada mencecah 12,160 unit dan merupakan prestasi terbaik sejak diperkenalkan 16 tahun lalu.

Selain itu, tempahan untuk model baharu Streetfighter V4 juga menggalakkan dengan jumlah melebihi 1,700 unit.

Jualan yang dicatatkan Ducati ini berpadanan dengan segmen premium yang diceburinya.

Jualan utama Ducati semestinya di negara kelahirannya Itali. Ducati memperolehi jualan sebanyak 9,474 unit dengan peningkatan tiga peratus berbanding 2018.

Di Amerika Syarikat, jualan menurun dua peratus kepada 7,682 unit di sebalik pengecilan pasaran sebanyak tujuh peratus berbanding 2018.

Di China pula, jualan Ducati meningkat 12 peratus kepada 3,200 unit. China adalah pasaran kelima terpenting buat Ducati.

Untuk tahun ini, Ducati berkeyakinan dengan barisan portfolio baharu yang terdiri daripada Streetfighter V4, Panigale V2 dan V4, Multistrada Grand Tour dan Scrambler.

Berbanding pengeluar lain, Ducati tidak mempunyai model untuk kesemua segmen motosikal tetapi apabila bercakap tentang segmen premium, Ducati adalah sesuatu dan idaman ramai.

Google ads
Back to top button