
PEMILIHAN TAYAR BOLEH MEMPENGARUHI KEPUTUSAN PERLUMBAAN F1
Hujan lebat yang melanda Singapura semalam sedikit sebanyak mempengaruhi perlumbaan GP Singapore dengan memaksa perlumbaan ditunda selama sejam bagi membolehkan perlumbaan dimulakan dengan keadaan selamat.
GP Singapore sama seperti GP Monaco dengan litar dihasilkan daripada jalan raya yang diubah menjadi litar perlumbaan sepanjang 5.063km dan 23 selekoh. Semenjak diperkenalkan dulu, GP Singapore merupakan litar yang agak mencabar kerana kereta keselamatan akan beroperasi setiap kali perlmbaan.
Keadaan bertambah rumit apabila faktor cuaca yang hujan, suhu litar, dan kelembapan semuanya mempengaruhi keadaan dan pemilihan tayar untuk perlumbaan. Bagi perlumbaan GP Singapore, Pirelli merupakan pembekal tayar tunggal untuk sukan F1 mencadangkan tayar kategori C3, C4 dan C5 untuk perlumbaan
Sebelum anda pening, mari kita kaji dulu sejarah penggunaan tayar dalam sukan F1. Selain Pirelli membekalkan tayar untuk sukan F1 bermula dari tahun 2011 sehingga 2024, sebenarnya banyak pengeluar lain yang membekalkan tayar ntuk perlumbaan ini.
Antara nama-nama pengeluar yang pernah membekalkan tayar untuk F1 termasuklah Goodyear (paling lama), Bridgestone, Continental, Dunlop, Firestone dan juga Michelin. Antara praktis yang digunakan pada musim sebelum ini ialah pasukan yang banyak duit berhak memilih mana-mana tayar yang terbaik yang boleh dihasilkan dengan kos yang tinggi
Ini menyebabkan pasukan yang kaya sentiasa mendapat tayar yang terbaik dengan kos yang tinggi dan keadaan ini adalah tidak adil bagi pasukan yang baru dan kurang berduit. Bagi menjadikan perlumbaanlebih adil dan menghadkan perbelanjaan pada tayar, FIA hanya membenarkan Pirelli sahaja sebagai pembekal tayar untuk sukan F1

Secara asasnya, tayar untuk perlumbaan F1 boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu tayar untuk permukaan jalan kering yang dinamakan slick tyre dan tayar untuk jalan basah dinamakan Wet Tyre. Tapi untuk permukaan jalan kering, terdapat 3 jenis tayar yang boleh dipilih berdasarkan keadaan litar.
Malah tayar untuk permukaan basah juga boleh dibahagikan kepada 2 jenis tayar samaada intermediate tyre atau Full Wet Tyre. Berikut ialah penjelasan tayar berdasarkan warna tayar yang dicat pada side wall tayar:
1. Putih (hard) – jika tayar F1 menggunakan tayar yang dicat putih pada side, ia bermaksud kereta ini menggunakan full slick tayar tapi compound atau ramuan tayar yang digunakan adalah paling keras. Ia boleh bertahan lebih lama. Ia bagus untuk permukaan litar yang kasar dan permukaan yang panas. Tayar warna putih boleh dikategorikan dalam C1, C2 atau C3
2. Kuning (medium) – merujuk kepada tayar dengan compound sederhana, merupakan tayar slick untuk permukaan yang kering tapi lebih lembut berbanding dengan tayar berwarna putih. Senang kata ia adalah tayar yang seimbang untuk selekoh dan juga tahan lasak. Tayar medium compound ini dikategorikan sebagai C2, C3 atau C4
3. Merah (soft) – merupakan tayar slick paling lembut yang dihasilkan khusus untuk litar yang banyak sekeloh, membekalkan cengkaman paling bagus bagi kelajuan yang tinggi. Tapi ia terlalu lembut sehinggakan cepat haus dan pasukan perlu merangka strategi untuk pitstop bagi menukar set tayar baru. Ia boleh dikategorikan sebagai C4 atau C5
4. Hijau – merupakan tayar dengan permukaan yang dibuat untuk jalan basah dengan kategori intermediate atau hujan yang sederhana dan lopak air yang tidak serius atas permukaan litar. Tayar ini boleh menyingkirkan air sebanyak 30 liter sesaat dengan longkang sederhana berbanding Full Wet yang menggunakan longkang lebih dalam

5. Biru (full wet) – merupakan tayar litar basah bagi keadaan yang lebih ekstrim dimana hujan lebat melanda dan semua permukaan litar sudah basah sepenuhnya. Tayar ini berupaya menyingkirkan air sebanyak 85 liter sesaat pada halaju 300km/jam. Tapi sebaik sahaja jalan mulai kering, cengkaman tayar ini pada jalan kering adalah tidak bagus
Jadi pemilihan tayar bagi setiap pasukan akan dibuat pada ramalan cuaca, suhu dan juga kelembapan. Setiap pasukan akan dibekalkan dengan 13 set tayar (13 X 4 = 52 unit) bagi latihan dan juga perlumbaan di setiap litar.
Daripada jumlah ini 8 set tayar adalah berwarna merah (soft), 3 set berwarna kuning (medium) dan 2 set putih (hard). Untuk tayar hujan setiap pasukan mendapat 3 set tayar biru dan 4 set tayar hijau. Tayar ini akan dibekalkan oleh Pirelli kepada FIA yang akan mengagihkan tayar pada setiap pasukan
10 jentera terbaik selepas ujian kelayakan mestilah memulakan perlumbaan sebenar dengan menggunakan tayar yang digunakan semasa ujian masa. Jentera pada kedudukan ke 11 dan ke atas boleh menggunakan tayar baru semasa perlumbaan sebenar dimulakan.
Semasa perlumbaan sebenar, setiap jentera mestilah menggunakan sekurang-kurangnya 2 set tayar yang berbeza compound. Tapi jika hari hujan, mereka boleh menggunakan tayar Intermediate pada bila-bila masa yang sesuai. Jadi terpulang kepada pasukan untuk menggunakan tayar yang sesuai dan strategi penukaran tayar mengikut pelan perlumbaan mereka.

