
PEMILIK TESLA MODEL Y TERPERANGKAP DALAM KERETA AKIBAT KEGAGALAN SISTEM – BAIK PAKAI KANCIL LA MACAM NI
Seorang influencer automotif dari UK nyatakan kekecewaan beliau terhadap Tesla Model Y selepas terperangkap dan tersadai di tepi jalan dalam cuaca sejuk.

Tom Exton, seorang Youtuber dan pengumpul kereta terkenal memberitahu Insider yang beliau dalam perjalanan ke London pada waktu malam 8 Disember lalu. Selepas beberapa minit meninggalkan kediaman beliau, Model Y yang dipandu Exton mula memaparkan mesej “shutting down”.
Exton dikira masih bernasib baik kerana Tesla beliau yang baru berusia 5 hari (5 hari tuan-tuan, tali pusat pun belum tanggal) memberikan mesej supaya segera berhenti di tempat selamat sebelum proses “ditidurkan” bermula.

Skrin paparan menunjukkan mesej “electrical system is unable to support all features. Switching off features to conserve energy”. Senang cerita berlaku kegagalan sistem elektrik dan semua fungsi dimatikan untuk menjimatkan tenaga. Banyak la engkau punya jimat.
Exton menjelaskan lagi yang beliau baharu sahaja bergerak selama 15 minit dengan bateri bercas penuh dengan baki perjalanan 348 kilometer sebelum sistem dimatikan sepenuhnya.
Lagi malang kerana kehilangan kuasa bermaksud bukan hanya perjalanan Exton terganggu tetapi pintu juga tidak boleh dibuka secara konvensional. Mula terasa lemas, Exton menarik tuil untuk membuka pintu secara manual dan sekali lagi nyaris ditimpa malang.

Sistem bukaan kecemasan telah memecahkan cermin tingkap di sebelah pemandu. Oh letih macam ni. Bahkan ini bukannya kali pertama kita dengar pemilik Tesla terperangkap di dalam kenderaan mereka sendiri.
Sebaik keluar, Exton terpaksa menunggu trak tunda selama beberapa jam dalam suhu di bawah paras beku. Kalau kena kat kita mesti dah beku kat situ.
Walaupun khidmat pelanggan Tesla memberikan kerjasama yang baik Exton nasihatkan bakal pembeli EV agar membuat pilihan yang bijak dan memilih Polestar atau apa-apa jenama lain selain Tesla. Nasib baik dia tak suruh beli Alza vtectec macam Abang Japar.







