Buletin

PENERBANGAN DARI KOTA BHARU KE SINGAPURA BERMULA RM59 SEHALA!

Kelantan merupakan destinasi yang menarik dan antara tumpuan syarikat penerbangan domestik.

Selain Pulau Pinang – KL, Kota Bharu KL juga adalah laluan yang menguntungkan. Di musim puncak seperti waktu perayaan, syarikat tempatan seperti Air Asia, Malaysia Airlines, Firefly dan Lion Air lazimnya menggandakan jadual penerbangan sehingga mencecah 40 penerbangan sehari.

Jika sebelum ini, penerbangan dari Kelantan ke Singapura memerlukan transit di Kuala Lumpur, kini, syarikat tambang murah Singapura, Scoot telah membuka laluan baru penerbangan terus dari Singapura ke Kota Bharu.

Syarikat penerbangan tambang rendah milik penuh Singapore Airlines Group, Scoot memulakan perkhidmatan tersebut semalam dengan kekerapan sebanyak tiga kali seminggu.

Penerbangan tersebut akan mengambil masa satu jam 30 minit, tanpa perlu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti sebelum ini.

Pemangku Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan, berkata penerbangan terus itu menjadikan Kota Bharu sebagai destinasi ketujuh bagi penerbangan terus dari Singapura ke Malaysia selepas Ipoh, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang.

Penerbangan tiga kali seminggu tersebut dijadualkan pada hari Selasa, Ahad dan Jumaat dengan tempahan boleh di buat melalui aplikasi Scoot atau laman web www.FlyScoot.com.

Sempena pelancaran laluan baru ini, bermula 9 hingga 11 Julai, Scoot menyediakan promosi istimewa dari Kota Bharu ke Singapura serendah RM59, termasuk cukai bagi kelas ekonomi bagi penerbangan sebelum 25 Oktober 2019.

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu, semalam menerima ketibaan pertama penerbangan Scoot dari Singapura.

Penerbangan yang membawa seramai 130 penumpang itu tiba kira-kira jam 4.05 petang dengan disambut meriah paluan gendang berpakaian Melayu klasik di balai ketibaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Hassan Mohamood; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia negeri, Mohd Aidil Afizie Daud; Pengurus Besar Pelancongan Wilayah Timur, Hafiz Hazin dan Pengurus Besar Pemasaran Penerbangan Malaysia Airport Holdings, Mohamed Sallauddin Mat Sah turut hadir dalam upacara bersejarah itu.

Sementara itu, Hassan berkata, penerbangan langsung dari luar negara itu bakal merancakkan aktiviti pelancongan di negeri ini, khususnya bagi menghadapi Tahun Melawat Kelantan 2020.

Hassan turut berkata sebenarnya kerajaan negeri sudah lama menunggu saat ini, malah turut merancang lebih banyak penerbangan terus dari Kelantan ke luar negara.

“Kita menanti adanya penerbangan terus dari Kelantan ke negara lain seperti Vietnam dan Bangkok,” katanya.

Petronas MREC – Desktop
Tags
Google ads
Back to top button