Motosikal

TAHUKAH ANDA SWING-ARM GENTIAN KARBON MOTOGP BERHARGA LEBIH RM1 JUTA SEUNIT?

Perlumbaan MotoGP bukan hanya medan menguji kehandalan pelumba dan motosikal tetapi ia bagaikan sebuah medan R&D untuk pembangunan motosikal baru di masa hadapan. Disinilah segala jenis prototaip akan diuji sebelum diluluskan dan mana-mana yang tidak sesuai tentu sekali akan dikeluarkan dari senarai. Bukan sekadar motosikal tetapi komponen penting seperti enjin, suspensi dan kerangka akan diuji ke tahap yang optima. Dan kini antara komponen yang paling baru diperkenalkan ialah  swing-arm gentian karbon yang mula digunakan oleh Pol Espargaro.

Apa benda swing-arm gentian karbon ni? Ringan sangat ke? Sama dengan stiker gentian karbon dekat kedai aksesori Ah Beng tu ke? Jawapannya ialah ya dan tidak. Ya, ia memang sangat ringan dan tidak, kerana ia jauh berbeza dengan bonet Kancil Pok Ya dan dibalut dengan stiker gentian karbon plastik.

Swing-arm yang digunakan oleh Pol Espargaro bukanlah model aluminium yang diberi balutan gentian karbon tetapi ia memang dihasilkan daripada gentian karbon seratus peratus mengikut acuan khusus. Hasilnya ialah swing-arm yang mempunyai bentuk yang menyerupai swing-arm asal RC16. Ia juga berbeza dari swing-arm yang digunakan oleh Johann Zarco yang dikategorikan sebagai carbon-partial ataupun sebahagian karbon.

Cal Crutchlow musim 2018 pernah menyuarakan keinginan beliau untuk menggunakan swing-arm yang sama digunakan oleh Marc Marquez dan Dani Pedrosa ketika itu kepada HRC. Dan kini untuk musim 2019, jentera RC213V MY2019 Cal sudah kelihatan menggunakan swing-arm gentian karbon. Tapi nampaknya menjelang pusing GP Catalunya baru-baru ini, Cal menyatakan yang swing-arm gentian karbon tidak boleh digunakan sepanjang masa.

Ini kerana jika Cal terlibat dalam kemalangan ataupun terjatuh, swing-arm tersebut mesti ditanggalkan dan diperiksa di Jepun. Ia memang akan memakan masa yang banyak dan semestinya keutamaan HRC ialah untuk Marc Marquez dan pasukan Repsol Honda. Kenapa? Kerana setiap satu swing-arm gentian karbon itu bernilai 250,000 Euro (RM1,170,521.42). Pergh, macam-macam boleh dapat dengan wang sebanyak itu kan?

Tapi kos yang dinyatakan oleh Honda, setiap jenama tentu sekali mempunyai kos dan peruntukan yang berbeza-beza untuk kegunaan R&D. Malah menurut majalah Speedweek, Ducati sendiri mengenakan kos 100,000 Euro kepada pasukanĀ  yang ingin mendapatkan swing-arm gentian karbon.

Hmm, mahal lagi tu. Rasa-rasa kalau untuk Y suku berapa pulak kosnya? 2 pasang buah pinggang campur hati sekilo cukup tak?

Google ads
Back to top button