Buletin

PENERBANGAN KOMERSIAL DI LTAM DIHENTIKAN, PERMINTAAN TERLALU RENDAH

Penerbangan komersial di Melaka melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dihentikan selepas satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan, Wings Abadi Air menamatkan jadual perjalanannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, penamatan penerbangan dari Pekanbaru, Indonesia ke Melaka itu dibuat selepas syarikat tersebut mengalami kerugian ekoran permintaan terlalu rendah.

“Sebelum ini kita masih ada penerbangan komersial Wings Air tetapi mereka telah menamatkan sendiri operasi pada baru-baru ini, situasi sama juga berlaku dengan Batik Air dan Air Asia yang juga pernah menyediakan perkhidmatan di LTAM.

“Isunya adalah jumlah permintaan untuk penerbangan komersial melalui LTAM adalah tidak mencapai sasaran syarikat, sebaliknya menyebabkan kerugian, seperti penerbangan ke Pulau Pinang-Melaka yang tidak menampung kos operasi mereka,” katanya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kerajaan negeri bagaimanapun bersedia untuk membincangkan insentif boleh diberikan kepada mana-mana syarikat penerbangan yang berminat menyediakan perkhidmatan di LTAM.

“Setakat ini kita telah pun berjumpa dengan enam buah syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa, saya sendiri ke pejabat mereka untuk berbincang serta mempelawa membuka laluan di LTAM.

“Kita menawarkan mana-mana syarikat penerbangan yang mahukan ruang di Melaka, kita tiada halangan dan bersedia untuk berbincang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button