
MERCEDES MODULAR ARCHITECTURE, PLATFORM SERBA BARU EV
Mercedes Benz telah mendedahkan platform khas untuk kereta elektrik dikenali dengan nama Mercedes Modular Architecture (MMA) yang akan digunakan pada kebanyakan model EQ terutama bagi model permulaan dengan harga yang lebih rendah.
Buat masa ini hanya Mercedes EQS sahaja yang dibangunkan dengan platform EV sepenuhnya. Bagi model baru nanti, Mercedes akan menghasilkan kenderaan mampu milik daripada jenama Mercedes serta beberapa rekaan lain yang lebih menarik seperti coupe 4 pintu, shooting brake dan juga 2 SUV dengan menggunakan platform MMA
Platform MMA akan mengetengahkan beberapa teknologi menarik seperti jarak pemanduan sejauh 750km untuk sekali pengecasan penuh, 2 spesifikasi bateri, sel bateri yang lebih ringan, penggunaan perekat untuk kekuatan cesi bagi ujian kemalangan dan sistem pengecasan 250kW bagi DCFC.
Buat masa ini, majoriti EV yang dihasilkan oleh Mercedes menggunakan platform yang asalnya untuk enjin petrol, sebagai contoh EQA dihasilkan dengan menggunkan platform GLA. Manakala model yang mahal seperti EQS dan EQE telah menggunakan platform yang dibangunkan khusus untuk EV

Pada konvensyen IAA Mobility 2023, Mercedes telah mendedahkan model konsep CLA yang baru dibangunkan dengan menggunakan platform MMA yang baru. Model ini akan menjadi model entry level kepada Mercedes bagi model EV
Model CLA yang baru ini juga menunjukkan penggunaan tenaga elektrik yang semakin cekap, memberikan bacaan 8.3km bagi setiap 1kWh tenaga elektrik. Antara kelebihan lain platform baru ialah penggunaan sistem 800 volt berbanding 400 Volt yang digunakan oleh model lama, ciri Vehicle to Load, pacuan roda belakang ataupun pacuan semua roda.
Bagi pilihan bateri, pelanggan boleh memilih bateri silicon-oxide bagi varian Long Range manakala bagi varian biasa akan ditawarkan dengan bateri lithium-iron phosphate. Mercedes juga menegaskan bahawa bateri nanti akan digam pada cesi, untuk mengurangkan berat dan meningkatkan ketegaran cesi
Sistem 800 volt dan juga OBC 250kW DCFC membenarkan model ini dicaj dalam masa 15 minit untuk jarak pemanduan sejauh 400km. Komponen Electric Drive Unit yang mengandungi motor, gear dan sistem elektronik akan dihasilkan secara in-house
Model konsep CLA ini akan dikuasakan dengan motor elektrik berkuasa 235hp, digandingkan dengan transmisi 2 kelajuan serta silicon carbide inverter bagi kecekapan tenaga elektrik. Mercedes berharap rekaan sebegini mampu meningkatkan kecekapan tenaga dari bateri ke roda sehingga mencecah 93%

