
STELLANTIS JADIKAN LAPANGAN TERBANG TERBIAR SEBAGAI TEMPAT SIMPAN KERETA
Stellantis dilanda isu logistik di kilang mereka di Sochaux. Menurut sumber dari Reuters, Stellantis menggunakan lapangan terbang terbiar di timur Perancis untuk menyimpan kereta mereka.
Kereta yang disimpan di lapangan terbang tersebut adalah kereta yang sedia dihantar, tetapi tidak boleh diserahkan kepada pelanggan atau disimpan di kilang.
Selepas pandemik COVID-19 serta pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kini pembuat kereta di seluruh Eropah terkena tempias apabila terpaksa bergelut untuk membuat penghantaran kerana kekurangan pemandu dan kapasiti trak.

Peugeot 3008 dan 5008 antara beribu-ribu kereta yang menunggu untuk dihantar kepada pelanggan. Namun, dengan situasi terkini yang melibatkan pelbagai sekatan dan kekangan, ribuan pelanggan harus bersabar sebelum menerima kunci kereta baharu masing-masing.
Dengan jumlah begitu banyak, Stellantis mencari penyelesaian alternatif dan menjadikan bekas lapangan terbang tentera di Lure-Malbouhans sebagai ruangan penyimpanan sementara.
Stellantis dikatakan menghasilkan kira-kira 1,100 kereta setiap hari, tetapi hanya mempunyai kapasiti untuk menghantar kira-kira 800 kereta sahaja.