PENGEDAR BUMIPUTERA PROTON TERTEKAN? INI MAKLUM BALAS RASMI DARIPADA PROTON
Sejak beberapa hari lalu, tular laporan bertajuk Pengedar Bumiputera Proton Tertekan yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 11 Februari 2018.
Jadi, di bawah adalah maklum balas rasmi daripada pihak PROTON. Sila baca sampai habis faham penjelasannya.
Mencari Rakan Strategik Asing
Pertamanya, kami ingin berterima kasih kepada PEKEMA (Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) dan ahli-ahlinya yang membangkitkan isu yang didepani oleh rangkaian pengedar mereka. Pencarian Rakan Strategik Asing secara spesifiknya menjawab artikel tersebut, PROTON sememangnya sedar terhadap cabaran getir yang dihadapi olehnya.
Sejak tahun 2000, kejatuhan jumlah jualan dan penguasaan pasaran telah menjejaskan keupayaan PROTON untuk membiayai aspek penyelidikan dan pembangunan. Ini menyebabkan PROTON ketinggalan dari segi teknologi dan produk yang kompetitif berbanding para pesaingnya.
Ini secara tidak langsung menjejaskan pelaburan dalam membangunkan rangkaian, kakitangan dan keupayaan pengilangan syarikat. Dalam usaha mengurangkan kejatuhan jualan, PROTON telah mengambil beberapa pendekatan seperti perkongsian platform dengan jenama-jenama lain dalam membangunkan enjin dan transmisi sendiri, demi mengurangkan kebergantungan terhadap alat ganti import.
Biarpun langkah itu memberikan keputusan yang positif, tiada satu pun mampu mengekang kejatuhan jualan dan penguasaan pasaran yang berterusan, sama ada di pasaran tempatan mahupun di luar negara.
Justeru, keperluan Rakan Strategik Asing dilihat semakin mendesak sekiranya PROTON mahu kembali menguasai pasaran automotif Malaysia. Ia juga akan membantu aspirasi kami untuk mengembangkan jenama PROTON di dalam dan luar negara yang sememangnya menjadi pelan perniagaan masa depan syarikat.
Selepas melakukan penilaian menyeluruh, Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) telah dikenal pasti sebagai rakan strategik yang paling sesuai. Dengan strategi perniagaan yang agresif dan memiliki beberapa jenama automotif terutamanya Volvo Cars, ia pasti membolehkan perkongsian teknologi dilakukan.
Langkah-langkah yang telah diambil untuk memulihkan PROTON
Antara aspek yang diberi penekanan utama adalah penambahbaikan rangkaian pengedar, pengenalan model-model baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan menerusi pengalaman jualan serta selepas jualan yang lebih baik.
Penambahbaikan rangkaian pengedar adalah selari dengan amalan jenama lain di Malaysia, di mana majoriti pengedar mereka terdiri daripada outlet 3S atau 4S. Sedangkan 70 peratus pengedar PROTON sekarang ialah 1S yang hanya berfungsi untuk menjual kereta semata-mata. Ia nyata menghadkan keupayaan PROTON untuk menawarkan pengalaman lebih premium kepada pelanggan.
Oleh kerana kurangnya outlet 3S dan 4S, Indeks Kepuasan Jualan (SSI) dan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) PROTON jauh ketinggalan berbanding jenama lain. Menerusi penambahan outlet 3S dan 4S ini, ia dijangka dapat meningkatkan skor SSI, CSI dan jualan kenderaan PROTON.
Inisiatif itu juga akan memacu jenama PROTON ke hadapan dan menarik minat kelompok pelanggan yang baru.
Menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh PEKEMA
1. Berkaitan pengedar diberi masa yang singkat untuk menaik taraf oulet 1S mereka kepada 3S/4S. Pengedar digalakkan untuk menaik taraf outlet mereka mulai tahun 2018 hingga 2020.
Sasaran peningkatan mendadak jumlah outlet 3S/4S pada tahun 2018 di seluruh negara akan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dengan pengenalan model-model baharu bermula tahun 2018.
Pada masa sekarang, outlet 3S/4S hanya merangkumi 30 peratus sahaja. PROTON faham bahawa wang yang banyak diperlukan untuk pelaksanaan ini. Justeru, kami telah memperkenalkan satu skim khas yang menawarkan sokongan awal untuk membantu pengedar menaik taraf premis masing-masing. Bukan itu sahaja pengedar ini akan menikmati margin ekstra ke atas setiap kereta yang dijual sehingga tiga tahun.
2. Dahulu, para pengedar kami menikmati margin sebanyak 4 peratus berdasarkan kepada volum bulanan sebanyak 40 unit sebulan untuk melayakkan mereka mendapat insentif jualan.
Kini kami telah menyemak semula skim berkenaan dan menurunkan pegangan untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan secara keseluruhannya. Skim ini selari dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh pengedar. PROTON akan terus memantau situasi ini bagi memastikan pertumbuhan perniagaan mampu dicapai.
Sebagai tambahan, PROTON akan menyediakan skim insentif pada setiap suku tahunan. Jadi, pengedar boleh memperoleh pendapatan tambahan jika melebihi sasaran jualan mereka. PROTON juga akan menyediakan insentif sokongan untuk aktiviti on-ground yang dilaksanakan oleh pengedar.
3. Amalan industri di Malaysia memerlukan syarikat automotif untuk menyediakan wang tunai sebelum penghantaran dapat dibuat atau menawarkan pengedar dengan terma kredit sehingga 14 hari.
Memandangkan kondisi pasaran yang sangat kompetitif, PROTON telah melanjutkan tempoh itu sehingga 60 hari bersama terma dan syarat tertentu. Ini merupakan satu usaha khas untuk membantu pengedar menguruskan aliran kewangan mereka. Maka, pengedar mempunyai lebih banyak masa untuk menggerakkan stok sedia ada tanpa perlu bimbang akaun mereka disekat.
4. Sistem Payment After Registration (PAR) tidak diamalkan oleh syarikat automotif lain di Malaysia. PROTON mengambil keputusan untuk menamatkan skim ini dalam usaha melegakan sedikit kondisi kewangannya.
Buat masa sekarang, PROTON membiaya sebanyak RM650 juta setahun kepada para pengedarnya. Jika kami meneruskan sistem PAR, jumlah yang dibayar kepada PROTON oleh pengedarnya akan memberi kesan buruk ke atas aliran tunai PROTON.
5. Bagi meningkatkan jualan dalam kalangan pelanggan fleet, PROTON telah memperluaskan pakej-pakej istimewa kepada pelanggan korporat, persatuan, organisasi serta pertubuhan yang berminat, bergantung kepada terma dan syarat tertentu.
Pengedar digalakkan untuk fokus kepada jualan runcit kerana jualan fleet hanya melibatkan jumlah yang sangat kecil, iaitu kurang lima peratus daripada jualan keseluruhan PROTON pada tahun 2017.
6. Merujuk kepada isu persaingan yang tidak sihat dalam kalangan pengedar, kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa margin baharu dan skim insentif yang telah dinyatakan di atas berfungsi untuk menghalang usaha pemasaran yang kurang wajar di antara mereka.
PROTON juga tertakluk kepada undang-undang dalam negara seperti Akta Persaingan.
7. Ketika menandatangani perjanjian kerjasama strategik, PROTON telah menggariskan pelan perniagaan untuk sepuluh tahun yang fokus kepada elemen-elemen penting, merangkumi produk, operasi dan pertumbuhan jualan.
Kajian terperinci telah dilakukan dan membawa kepada strategi pengenalan produk/model yang komprehensif untuk lima tahun akan datang. Dengan teknologi, kepakaran dan kewangan rakan kongsi, kami yakin PROTON berada di landasan terbaik untuk kembali mencatat keuntungan serta pertumbuhan yang mapan.
8. SUV baharu yang akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini bakal menjadi penanda aras teknologi buat PROTON. Memandangkan ia akan diposisikan sebagai model premium PROTON, maka aspek jualan dan selepas jualan bakal diuruskan secara berhati-hati demi memenuhi ekspektasi pelanggan.
Justeru, outlet 3S/4S PROTON akan menguruskan jualan SUV ini secara eksklusif. Namun, outlet 1S turut dibenarkan untuk menjualnya menerusi outlet 3S/4S yang paling hampir dengan mereka.
Pendek kata, semua pengedar berpeluang menjual model-model baharu PROTON selagi semua syarat dipenuhi.
Perjalanan ini masih panjang. PROTON mahu mengembangkan perniagaan dan bukannya membebankan pengedar. Jadi PROTON, para pengedar dan rakan niaganya mestilah bersemangat serta memberi perkhidmatan yang sebaik mungkin.
Kesimpulannya, PROTON berharap dan mahu mengembangkan perniagaan bersama-sama pengedarnya, mencipta keyakinan dalam kalangan orang ramai serta meningkatkan penerimaan pengguna terhadap jenama ini.
Memandang ke hadapan, model perniagaan PROTON mestilah fokus kepada keperluan pasaran yang mapan untuk jangka masa panjang.