PENGEDAR TOYOTA US ‘MARKUP’ HARGA GR COROLLA $10,000!
Toyota baharu sahaja melancarkan hot hatch terbaharu di bawah lencana Gazoo Racing, iaitu GR Corolla.
Tiada sebarang tanda harga diumumkan buat masa ini, namun ada di kalangan pengedar Toyota di Amerika Syarikat sudah pun mula mengenakan syarat yang pelik bagi pembeli yang berminat terhadap model tersebut.
Ini kerana, berdasarkan beberapa laporan, Toyota hanya menyasarkan produksi sebanyak 6,600 unit sahaja untuk tempoh tahun pertama, dan hanya 1,500 unit dikhususkan untuk model berspesifikasi Circuit Edition dengan penambahan aksesori yang menarik.
Disebabkan unit produksi yang terhad dan dengan jumlah pengedar kira-kira 1,500 buah di seluruh negara US, terdapat kemungkinan setiap pengedar hanya akan menerima tiga unit GR Corolla sahaja.
Laman web Carscoops yang membuat tinjauan terhadap sesetengah pengedar di Massachusetts mendapati salah satu pengedar meletakkan syarat deposit (ke atas harga yang masih belum diumumkan) sebanyak $10,000 (RM42,285) bagi membolehkan pembeli mendapatkan slot untuk membeli GR Corolla.
Menurut wakil Toyota yang dihubungi oleh Carscoops sebelum ini, “kami mengenalpasti keterujaan peminat terhadap GR Corolla, dan ada pelanggan yang mahu menjadi yang pertama memiliki model tersebut.
“Toyota telah menetapkan harga jualan cadangan (MSRP), namun disebabkan jaringan pengedar kami merupakan pemilik perniagaan bebas, harga jualan akhir merupakan hasil daripada interaksi antara pelanggan dan juga pengedar.
“Kumpulan jualan kami telah meminta pejabat serantau bagi memantau harga transaksi dan berunding dengan pengedar mengikuti keperluan.
Itu dia tuan-tuan. GR Corolla. Produksi terhad, tapi permintaan tinggi. Memang akan ada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan. – Carscoops