Buletin

LAMBORGHINI HURACAN TECNICA MUNCUL DENGAN KUASA STO – 631 HP/565 NM

Lamborghini baru-baru ini tampil dengan sebuah lagi penawaran Huracan berpacuan roda belakang dengan talaan kuasa daripada model STO, iaitu Huracan Tecnica.

Dari segi luaran, Huracan Tecnica ini banyak membawakan inspirasi daripada model-model seperti Huracan STO, Sian, model konsep Terzo Millenio serta model Essenza SCV12, seperti motif huruf Y berdekatan dengan unit lampu utama, tingkap sisi menyamai model Essenza SCV12, dan rim 20 inci Damiso yang diinspirasikan daripada model Vision GT.

Lamborghini membawakan perubahan yang besar di bahagian belakang, di mana ia menampilkan pelindung enjin daripada bahan ringan gentian karbon, bampar belakang dengan unit diffuser, spoiler belakang kekal, serta tip ekzos berbentuk hekzagon berkembar.

Menurut Lamborghini, komponen spoiler itu mampu meningkatkan 35 peratus daya turun, dan mengurangkan daya seretan sehingga 20 peratus sekiranya digandingkan dengan komponen aerodinamik seperti splitter depan dan bahagian bawah badan.

Diposisikan antara model EVO RWD dan model STO, Huracan Tecnica didatangkan dengan talaan kuasa yang wujud pada model STO, iaitu nadi 5.2 liter bentangan V10 yang mampu menghasilkan 631 hp dan daya kilas 565 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, serta pacuan roda belakang.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.2 saat, disebabkan penggunaan bahan ringan yang banyak menguasai Huracan Tecnica.

Selain daripada pemilihan mod pemanduan ANIMA, Huracan Tecnica turut didatangkan dengan sistem Lamborghini Dinamica Veicolo Integrata (LDVI) yang mampu mengubah kelakuan jentera ini menerusi tetapan pada kawalan cengkaman, torque vectoring, serta sistem stereng gandar belakang.

Sistem brek didatangkan dengan cakera brek seramik karbon, serta sistem penyejukan yang diinpirasikan daripada unit yang biasa digunakan dalam litar lumba.

Ruang kabin Huracan Tecnica pula menempatkan tempat duduk boleh laras ketinggian, balutan bahan yang selesa dan sporti dalam masa yang sama, serta skrin infotainmen tengah yang turut menyokong Apple CarPlay, Android Auto, serta Amazon Alexa.

Google ads
Back to top button