
PENGGUNA MALAYSIA PALING LAMBAT TERIMA PENGHANTARAN E-DAGANG – VIETNAM LAGI LAJU
Berdasarkan kepada satu kaji selidik oleh Parcel Perform dan laman web meta-carian iPrice Group, kira-kira 43 peratus pengguna di Malaysia tidak gembira dengan pengalaman penghantaran e-dagang mereka.
Kaji selidik itu menunjukkan Malaysia menjadi negara transit paling lama di rantau ini dengan proses penghantaran barang yang dibeli secara dalam talian memakan masa selama 5.8 hari, berbanding purata 3.3 hari di negara jiran lain.
Dalam satu kenyataan bersama pada hari ini, Parcel Perform dan iPrice Group menyatakan pengguna di Singapura, Hailand dan Vietnam lebih berpuas hati dengan pengalaman penghantaran mereka berbanding Indonesia dan Malaysia.
Kaji selidik yang melibatkan 80,000 orang pengguna e-dagang itu dijalankan oleh Parcel Perfom, platform pengesanan bungkusan e-dagang yang meliputi 600 penyedia perkhidmatan logistik di seluruh dunia.
Sebanyak 34 peratus responden mengakui penghantaran parcel menjadi masalah utama dalam ekosistem e-dagang. Lebih 90 peratus pelanggan memberi maklum balas negatif berkaitan penghantaran lambat atau kurang komunikasi mengenai status penghantaran barang mereka.
Kaji selidik itu juga menunjukkan kepuasan pelanggan merupakan aspek utama mereka kekal mengguna perkhidmatan laman e-dagang. Justeru, mempercepatkan masa penghantaran sememangnya amat kritikal untuk menambah baik perkhidmatan.
Secara idealnya, pelanggan mahu mereka sentiasa diberi notifikasi dan kemas kini mengenai status penghantaran barang, selain mengharap apa yang dibeli tiba tepat pada masa yang dijanjikan. – Bernama