Modifikasi

PROTON SATRIA : TIGA R!

Dalam segmen kereta-kereta hatchback keluaran Proton, Satria GTi dan Satria R3 dianggap yang terbaik dari segi kuasa, aksesori mahupun kit badan yang ditawarkan. Ia juga pilihan yang lebih selamat sebab kurang disakat oleh pihak berwajib, berbanding menukarnya kepada Mirage atau EVO jadian.

Konsep yang diketengahkan R3 telah memberi ilham kepada Faizal dan rakan-rakannya, untuk menghasilkan sesuatu yang sama. Sekurang-kurangnya dari segi penampilan. Masa tampil berseorangan rasanya tak meriah mana. Tapi bila bersama geng kroni, baru boleh rasa aura jahatnya.

Bahagian luar dah tentu menggunakan kit badan Satria rekaan R3 yang diasaskan dari model Satria GTi. Ia kemudian telah ditambah baik, hasil penggunaan komponen jenis gentian karbon yang lebih merecik. Antaranya bahagian hood, fender, lip depan, cermin sisi, spoiler dan garnish plet belakang. Termasuk dalam pakej ini adalah unit sunroof Mitsubishi Mirage, yang terletak kemas pada bumbung.

Penampilan Satria ini disematkan lagi dengan rim Volk Racing TE37 yang agak besor. Ia dipadankan dengan tayar Yokohama Advan Neova AD08R dari saiz 215/45R-17. Sistem gantungan pulak dibantu set suspensi boleh laras dari Tein. Manakala kuasa hentian datang dari kit brek 4-port Mitsubishi GTO, termasuk brek Satria GTi di ruang belakang.

Kereta ini telah dikuasakan oleh enjin 4G63T dari Evo III. Sesuai dengan kerjanya sebagai posmen. Eh, pomen, Faizal turut menaik taraf enjin ini pada kadar yang sesuai. Kemas pun kemas. Bermula dengan penempatan set piston CP Carrillo, galas enjin ACL Race, termasuk sepasang camshaft Brian Crower 272° pada kepala silinder.

Keupayaan sistem pendesak dijana oleh turbo Garrett AR50, yang masih menyorok di bawah manifold Turbo S. Disertakan juga sebuah wastegate Turbosmart 38mm, untuk mengawal tekanan pada perumah turbo. Jumlah boost yang dihasilkan, seterusnya disejukkan oleh unit intercooler kustom yang tersemat kemas di ruang bumper. Sebaik diterima masuk menerusi unit throttle body Super90, lebihan boost yang tidak digunakan akan dilepas keluar melalui injap pelepas HKS SSQV.

Penyampaian bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro, terus ke set injektor Sard berkapasiti 800cc. Untuk pembakaran yang efisyen, kuasa letusan datang dari kabel pencucuh NGK R09. Memastikan perjalanan enjin ini sentiasa ditahap optimum, ia kini diselia sepenuhnya menggunakan unit ECU Microtech LT-10S.

Kotak gear dengan fungsi LSD disalin dari Evo II, sebelum keupayaan pacuannya diperkukuhkan dengan set klac plet berkembar OS Giken. Sementara sistem ekzos telah dirombak semula menggunakan paip berdiameter 3-inci, sebelum dipadankan dengan peredam bunyi dari Apexi.

Ruang kokpit menerima salinan komponen seperti yang digunakan pada Satria R3. Cuma dashboard Evo VI tu jelah yang lain. Antaranya yang berjaya diperolehi termasuklah sepasang tempat duduk Recaro SR4 hitam merah, stereng Momo Tuner, tombol gear karbon, selain tali pinggang, panel pintu dan tempat duduk belakang. Di sebalik roda stereng tersemat butang scramble untuk desakan boost lebih padu. Tidak ketinggalan deretan gajet paparan terdiri daripada meter tambahan Defi 6 beradik, meter voltan GReddy, serta unit RSM dari Apexi.

Selepas proses pengambilalihan, pengurusan Proton Holdings Berhad telah mengambil keputusan untuk membubarkan operasi Divisyen R3 akibat kekurangan dana. Ada kata tutup, ada kata beku. Harap-harap ia akan dihidupkan semula, untuk mewarnai persada permotoran selepas ini.

-pak maun-

KREDIT:KAKIKERETA.COM

Google ads
Back to top button