Buletin

PERATURAN BARU ‘TINTED’, WAJIB DENGAN LOGO SIRIM.

Semalam, KPDNHEP telah mewartakan satu lagi undang-undang baru yang bakal melindungi pengguna. Mungkin ramai yang tidak sedar, industri penapis haba kenderaan (tinted) sebenarnya tidak dipantau dan peniaga bebas menggunakan apa jenis produk tanpa perlu mematuhi sebarang peraturan berkaitan kualiti.

Peraturan baru ini bakal menetapkan standard minimum yang perlu dipatuhi oleh industri ini.

Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan akan dikuatkuasakan kepada semua penggiat industri bermula 1 Julai tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, untuk tujuan itu bermula esok pihak industri diminta mematuhi garis panduan secara sukarela sebelum dikuatkuasakan.

“Untuk tempoh setahun ini, garis panduan ini dilancarkan sebagai panduan dan langkah didikan kepada pihak industri sebelum peraturan mandatori berkenaan filem penghadang haba kenderaan dikeluarkan.

“Keputusan penyediaan garis panduan dibuat selepas mengambil kira impak positif yang mana pengguna dapat membuat pilihan membeli filem penghadang haba kenderaan berkualiti dan mempunyai pelabelan logo SIRIM Berhad (SIRIM),” katanya selepas majlis pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya pensijilan dan pelabelan serta QR kod akan dikuatkuasakan apabila perintah mandatori dikeluarkan melalui kuasa perundangan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dalam tempoh setahun iaitu 1 Julai tahun depan.

Katanya, garis panduan berkenaan mengesyorkan pihak industri terutama pengimport dan pengedar supaya mendapatkan pensijilan dan pengujian terhadap filem penghadang haba kenderaan sebelum dibekalkan ke pasaran Malaysia.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesyorkan supaya setiap produk filem penghadang haba kenderaan yang dijual perlu melalui ujian dan lulus berdasarkan standard MS2669.

“Seterusnya, produk ini perlu mendapatkan pensijilan dan label berserta kod QR sebagai pengesahan daripada SIRIM sebelum dipasarkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun garis panduan belum mandatori, pihak industri masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada mengenai maklumat berkaitan pada label filem penghadang haba kenderaan yang sedang berkuatkuasa iaitu Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Bagi mana-mana pengeluar, pengimport atau pembekal, sekiranya mereka melekatkan label atau kod QR palsu yang tidak disahkan SIRIM boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM100,000 bagi persendirian atau RM250,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun kerana melabelkan penyataan palsu yang boleh memperdayakan pengguna.

“Dengan adanya garis panduan ini, kerajaan dapat membendung pasaran daripada menjadi pusat lambakan barangan tidak berkualiti dan substandard kepada pengguna,” katanya.

KREDIT: HARIAN METRO

Tags
Google ads
Back to top button