Buletin

PERJALANAN REKOD DUNIA ID. BUZZ OLEH RAINER ZIETLOW KINI SINGGAH DI MALAYSIA

Pengembara dan pemegang rekod dunia, Rainer Zietlow, kini tiba di Malaysia sebagai sebahagian daripada misi luar biasanya untuk mencatat rekod Guinness World Records bagi kategori “negara paling banyak dilawati menggunakan kenderaan elektrik.”

Perjalanannya yang bermula lebih 80 hari lalu telah membawa beliau merentasi 46 negara sejauh lebih 46,400 kilometer dengan menaiki Volkswagen ID. Buzz, van elektrik ikonik yang menggabungkan reka bentuk klasik dengan teknologi moden.

Malaysia menjadi salah satu hentian penting dalam ekspedisi global ini, yang turut disokong oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan Giti Tire Malaysia (GTM).

Ini merupakan kunjungan kedua Zietlow ke Malaysia, dan kali ini beliau berkongsi pengalaman bersama peminat automotif tempatan dalam satu majlis khas di Volkswagen Glenmarie (F.A. Wagen).

Acara tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri kehebatan ID. Buzz serta berinteraksi dengan pengembara yang kini menjadi simbol mobiliti lestari dunia.

Menurut Pengarah Urusan VPCM, Renate Noessler, pengembaraan ini mencerminkan semangat sebenar jenama Volkswagen.

“Misi Rainer mengingatkan kita bahawa pemanduan bukan sekadar rutin harian. Ia boleh menjadi satu pengembaraan. ID. Buzz ialah kesinambungan lagenda Volkswagen Minibus yang digemari ramai, kini dihidupkan semula dengan semangat baharu untuk generasi moden,” katanya.

Zietlow bukanlah nama asing dalam dunia pengembaraan automotif. Pada tahun 2012, beliau pernah mencatat rekod dunia dengan Volkswagen Touareg, membuktikan daya tahan dan keupayaan luar biasa SUV tersebut.

Kini, dengan ID. Buzz, beliau menunjukkan sejauh mana evolusi mobiliti elektrik telah melangkah — dari kuasa tork segera sehinggalah kepada kecekapan jarak jauh.

Menjadi tulang belakang kejayaan misi ini ialah tayar GitiSynergy H2, tayar rasmi yang digunakan pada ID. Buzz.

Dibangunkan khusus untuk kenderaan elektrik, ia mampu menampung beban bateri yang berat, memberikan cengkaman stabil di jalan basah, serta memastikan pemanduan selamat dan efisien sepanjang ribuan kilometer.

Timbalan Pengurus Besar Pemasaran Antarabangsa Giti Tire Group, Shiroo Chia, berkata perjalanan Zietlow merupakan bukti nyata terhadap prestasi teknologi Giti.

“Perjalanan sejauh 80,000 kilometer merentasi 70 negara bukanlah tugas mudah. Kami bangga tayar GitiSynergy H2 menjadi sebahagian daripada kejayaan ini,” ujarnya.

Bagi Zietlow sendiri, kerjasama antara Volkswagen dan Giti Tire menjadi faktor utama kejayaan misi ini.

Google ads
Back to top button