Buletin

KEJOHANAN GOLF AMAL MAZDA KE-11 PERKUKUH USAHA KEBAJIKAN, BERJAYA KUMPUL RM1.4 JUTA

Bermaz Motor baru-baru ini menganjurkan Mazda Charity Golf Tournament edisi ke-11 di Glenmarie Golf & Country Club, menghimpunkan pemimpin korporat, pelanggan Mazda, peminat golf dan wakil komuniti dalam satu acara sukan berteraskan kebajikan.

Kejohanan tahunan yang kini menjadi acara tetap Mazda itu bukan sekadar medan pertandingan, tetapi platform penting bagi mengumpul dana untuk Tabung Mazda Medicare (MMF) – inisiatif kebajikan yang memberi bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Sejak ditubuhkan, MMF turut menyalurkan sumbangan kepada rumah kebajikan, rumah anak yatim dan pusat penjagaan warga emas.

Edisi tahun ini berlangsung dengan penuh istiadat di bawah naungan diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang juga Penaung Diraja MMF sejak 2015.

Keberangkatan Seri Paduka menyerikan majlis dengan penuh makna, mencerminkan keprihatinan dan semangat baginda dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta beberapa pegawai kanan kerajaan dan tokoh industri.

Menurut Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Ben Yeoh, kejohanan ini bukan sekadar aktiviti sukan, tetapi mencerminkan tanggungjawab sosial korporat Mazda dalam menyemai budaya prihatin dan memberi kembali kepada masyarakat.

Kejohanan Golf Amal Mazda 2025 mencatat penyertaan seramai 200 pemain, terdiri daripada pemain golf berpengalaman, rakan kongsi korporat dan pelanggan setia Mazda.

Melalui sumbangan peserta, penaja dan penderma, acara ini berjaya mengumpul RM1.4 juta untuk disalurkan kepada MMF bagi memperkukuh pelbagai program kebajikan di seluruh negara.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada tiga penerima utama:

  • Mount Miriam Cancer Hospital (Tabung Kebajikan Penyakit Kanser Mount Miriam), Pulau Pinang
  • Persatuan Kebajikan Ahsana, Kuala Lumpur
  • House of Love, Selangor

Sumbangan tersebut akan digunakan untuk membantu rawatan pesakit kanser, menyediakan perlindungan kepada kanak-kanak serta menampung keperluan asas golongan kurang bernasib baik.

Tabung Mazda Medicare Fund (MMF) diasaskan pada tahun 2015 hasil kerjasama antara Prima Merdu Sdn Bhd dan B. Braun Avitum Renal Services, dengan matlamat membantu pesakit penyakit buah pinggang kronik melalui rawatan hemodialisis bersubsidi.

Kini, dengan 16 pusat dialisis B. Braun beroperasi di seluruh Malaysia, ribuan pesakit telah menerima manfaat rawatan melalui sumbangan dana MMF.

Keunikan MMF terletak pada pelaksanaannya yang dijalankan sepenuhnya oleh sukarelawan Bermaz Motor tanpa kos pentadbiran, memastikan setiap sumbangan disalurkan sepenuhnya kepada penerima bantuan.

Selain penganjuran acara tahunan, usaha kebajikan ini turut disokong melalui Kad Keistimewaan Mazda (Mazda Privilege Card – MPC) yang diperkenalkan pada 2018.

Dengan bayaran penyertaan sebanyak RM100 yang disalurkan sepenuhnya kepada MMF dan layak mendapat pengecualian cukai LHDN, pemegang kad bukan sahaja beramal, tetapi juga menikmati potongan harga 15 peratus bagi alat ganti tulen Mazda terpilih serta 5 peratus bagi caj buruh di pusat servis rasmi Mazda seluruh negara.

Google ads
Back to top button