Artikel Pilihan

PERLU KE BEG UDARA DALAM KERETA LUMBA?

Aspek keselamatan merupakan salah satu aspek yang perlu diteliti sebaik mungkin oleh semua pengguna jalan raya. Maka tidak hairanlah kebanyakan kereta penumpang sekarang ini memiliki 6 beg udara SRS sebagai peralatan standard dalam usaha mencegag kecederaan pada penumpang sekiranya kemalangan jalan raya terjadi.

Bagi kereta lumba termasuklah jentera perlumbaan F1, kereta rali dan juga kereta penumpang yang diubahsuai untuk perlumbaan, faktor keselamatan merupakan faktor yang diambil kira dengan serius. Kalau tidak ikut spesifikasi keselamatan, jentera perlumbaan mungkin tidak akan dibenarkan berlumba. Jadi kita dapat lihat penurunan kes kemalangan maut yang meragut pelumba kereta dari tahun ke tahun.

Namun persoalan sebenarnya kenapa kereta lumba tidak menggunakan beg udara SRS? Kalau kereta penumpang biasa guna 6 beg udara, kereta lumba mestilah paling kurang kena ada 16 beg udara. Kalau mengikut logik akal, lebih banyak beg udara lebih baik dan leboh bagus peluang untuk pelumba selamat jika berlaku kemalangan.

Bagi jentera perlumbaan termasuklah jentera F1, kedudukan roda stering, kerusi pemandu dan juga papan pemuka telah pun dibuka bagi mengurangkan berat kereta. Malah pemandu juga duduk rapat dengan roda stering. Sekiranya beg udara meletup ketika kemalangan, beg udara tersebut sebenarnya menyusahkan pemandu untuk bergerak keluar atau diselamatkan.

Sebenarnya jentera F1 telah dibuat dengan cesi monocoque yang amat kuat dari gentian karbon yang diperkuatkan dengan proses pemanasan. Manakala kereta rali pula dipasang dengan roll cage yang bertindak menghalang daya luar daripada sampai kepada pemandu. Cesi luar kereta menyerap impak hentakan manakala roll cage melindungi pemandu dari hentaman.

Bahagian kepala pemandu dilindungi oleh topi keledar ataupun helmet yang telah diluluskan oleh spesifikasi FIA. Bahagian badan atau upper torso pula dilindungi oleh tali keledar 6 poin yang akan mengekalkan badan pemandu pada kerusi walaupun kereta melayang ke udara dan jatuh bergolek-golek.

Sebagai perbandingan, kereta penumpang hanya menggunakan tali keledar 3 pin sahaja. Jadi akan wujud sedikit pergerakan badan pemandu sekiranya kereta terlanggar dan berhenti dalam masa yang singkat. Bagi menghalang pemandu mendapat kecederaan, beg udara akan berfungsi bagi melembutkan hentaman pada pemandu.

Berbalik kepada topi keledar yang dipakai oleh pemandu, ia lebih dikenali dengan nama Head And Neck Support ataupun HANS bagi melindungi kepala dan mengurangkan pergerakan kepala dan leher sewaktu berlakunya kemalangan. Jadi dengan adanya sistem topi keledar dan juga tali keledar 6 poin ini, sistem beg udara SRS tidak lagi efektif dan diperlukan oleh kereta lumba.

Jika beg udara SRS perlu dipasang juga, ia perlu direka dengan cukup besar. Tambahan pula roda stering kereta lumba dan jentera F1 sudahpun cukup kompleks dengan memuatkan pelbagai butang. Jadi sebarang usaha untuk memuatkan beg udara SRS akan melibatkan proses kejuruteraan yang kompleks dan kelihatan agak mustahil.

Berbalik semula kepada topi keledar yang dipakai oleh pelumba, dalam jentera F1topi keledar telahpun menerima naik taraf yang cukup banyak dan proses regulasi yang semakin ketat saban tahun. Ia telah diuji dengan ujian Standard Low Velocity and Low Lateral Impacts, perlindungan balistik termaju, ujian beban 10kg dengan jatuhan setinggi 5.1 meter, visor depan anti tembus, dan boleh bertahan pada suhu 790 darjah.

Jurutera perlumbaan akan sentiasa mencari kaedah dan helah bagi memastikan jentera mereka cukup ringan dan pada masa yang sama kuat ketika menerima hentaman. Adalah tidak berapa bijak jika mereka memasang peralatan tambahan bagi menyokong sistem beg udara SRS kerana ia akan menambah beban pada jentera perlumbaan.

Kami sertakan di sini keratan video ketika Ott Tänak mengalami kemalangan ketika Rali Monte Carlo pada kelajuan 170km/j. Sempat lagi dia bersembang. Kalau Solihin mesti jerit-jerit macam perempuan.

Google ads
Back to top button