Artikel Pilihan

PERODUA ALZA BARU / AVANZA AKAN GUNA ENJIN 1500CC & CVT? KENAPA BUKAN 1KR-VET?

Beberapa hari ini media automotif Indonesia melaporkan yang pengganti Toyota Avanza dan juga kembarnya iaitu Perodua Alza bakal diperkenalkan dengan dengan trenkuasa enjin 1500cc dual VVTi serta dipadankan dengan transmisi CVT (atau lebih tepat lagi DCVT)

Seperti yang kita tahu, pengganti Alza dan juga kembarnya Avanza akan direka dengan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture khusus untuk pasaran negara membangun di mana kos platform ini lebih murah berbanding dengan platform Toyota New Global Architecture yang digunakan khusus untuk model Toyota.

Semasa model Alza D27A (kod projek) ini mula-mula kedengaran, kami menjangkakan Perodua Alza generasi baru ini akan menggunakan enjin 1KR-VET 1000cc turbo 3 silinder yang menghasilkan 140Nm tork pada 2400 RPM dan 97 kuasa kuda pada 6000 RPM. Tapi berita terkini yang kedengaran (dan telah disahkan) ialah Alza baru akan menggunakan enjin 1500cc dual VVTi

Secara perbandingan enjin 1500cc dual VVTi yang digunakan pada model Myvi dan Aruz menghasilkan 136Nm tork pada 4200 RPM dan 102 kuasa kuda pada 6000 RPM. Walaupun menghasilkan hanya 97 kuasa kuda, tork yang dijana oleh unit 1000cc turbo ini ialah 140Nm tork pada RPM yang lebih awal. Ini merupakan ciri biasa bagi kenderaan moden

Tapi apa yang kita tidak tahu sebenarnya ialah berapa kos sebenar enjin ini termasuklah transmisi DCVT pada model Perodua Ativa dan juga Toyota Raize/Daihatsu Rocky dan bagaiamana enjin tersebut digunakan oleh pengguna. Apabila membangunkan satu-satu model baru, demografi pasaran adalah faktor utama yang dijadikan penanda aras dalam proses R&D.

Pada tahun 2019 sebelum COVID19 melanda dunia, Indonesia mencatatkan penjualan sebanyak 1,030,126 unit kenderaan dari bulan Januari ke Disember 2019. Daripada jumlah ini, 49.4% pasaran dikuasai oleh Toyota dan juga Daihatsu dengan jualan sebanyak 509,081 unit kenderaan terjual. Model Avanza dan juga Xenia adalah model yang penting bagi mereka di sana.

Manakala sebanyak 604,287 unit kenderaan terjual di Malaysia dengan penguasaan pasaran sebanyak 48.9%. Dalam setahun, Toyota dan Daihatsu menjual bilangan kenderaan di Indonesia yang hampir menyamai pasaran TIV Malaysia. Ini bermakna apabila membangunkan model baru Avanza dan kembarnya yang akan dijenamakan sebagai Alza, maka ia akan dibangunkan mengikut citarasa pasaran Indonesia bukan pasaran Malaysia.

Pada pandangan kami akses kepada pusat servis dan kelasakan enjin, enjin 1500cc dual VVT-i NA yang digunakan lebih sesuai mengikut citarasa dan keperluan pengguna di Indonesia. Tapi apabila Alza dipasarkan di Malaysia nanti ia akan menerima sentuhan citarasa Malaysia dari segi rekaan luar dan dalam tapi mengekalkan enjin 1500cc dual VVTi ini berbanding enjin 3 silinder turbo

Secara umumnya walaupun enjin turbo lebih bertenaga dan menghasilkan tork pada RPM yang lebih rendah, ia memerlukan penjagaan yang lebih rapi dan teliti. Walaupun disarankan untuk diservis setiap 10,000km tapi kadangkala enjin turbo memerlukan kita melakukan servis awal, jika kelikatan minyak pelincir enjin tidak berada dalam julat yang sesuai. Tambahan pula enjin turbo ini sebenarnya lebih kompleks berbanding enjin NA

Salah satu faktor lagi yang mendorong penggunaan enjin dual VVTi ialah harga enjin itu sendiri. Bagi mengekalkan tagline “Mobil Sejuta Ummat”, ia perlu dijual dengan harga yang murah. Jika Avanza baru ini dipadankan dengan enjin turbo, besar kemungkinan harganya akan meningkat dan menyebabkan pesaing Toyota/Daihatsu mengambil peluang mencuri jualan Avanza

Bagi meningkatkan lagi kecekapan enjin dan penggunaan petrol, transmisi D-CVT yang berasal dari model Ativa/Raize/Rocky akan digunakan bagi menggantikan transmisi 4 kelajuan automatik. Bagi pasaran Indonesia, transmisi 5 kelajuan manual akan dikekalkan tapi kami menjangkakan tiada transmisi manual untuk pasaran Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, Alza kemungkinan akan “copy paste” saja apa yang telah digunakan oleh Avanza. Boleh juga guna enjin 1000cc 1 KR-VET yang ada pada Ativa, tapi ia akan menyebabkan kos pembangunan meningkat. Adalah lebih mudah bagi Perodua untuk “streamline production” dengan menggunakan enjin 1500cc dual VVTi dan ia akan memberi lebih keuntungan pada Perodua

Dengan menggunakan platform DNGA serba baru, kita boleh menjangkakan Perodua Alza generasi baru akan dipadankan dengan teknologi ASA 3.0 yang merangkumi sistem amaran pra perlanggaran, brek pra-perlanggaran, lane departure warning, lane departure prevention, lane keep control, sistem amaran titik buta, lampu tinggi automatik dan lampu depan adaptif

Google ads
Back to top button