Buletin

PERODUA OPTIMIS TIV 2025 LEPASI 820,000 UNIT, PERMINTAAN KEKAL KUKUH

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangkakan jumlah keseluruhan industri automotif (TIV) bagi tahun 2025 akan terus berkembang dan berpotensi mencecah sekitar 820,000 unit, mengatasi pencapaian tahun lalu sebanyak 816,747 unit.

Unjuran itu mencerminkan keyakinan bahawa minat pengguna terhadap kenderaan baharu kekal stabil, terutamanya dalam kalangan pembeli yang mengutamakan nilai, kos pemilikan rendah dan kebolehpercayaan produk.

Bagi prestasi syarikat, Perodua menyasarkan pengeluaran sebanyak 370,370 unit kenderaan tahun ini, meningkat kira-kira 0.6 peratus berbanding 368,100 unit pada 2024.

Jualan pula dijangka mencecah 359,904 unit, iaitu peningkatan kecil sekitar 0.5 peratus berbanding 358,102 unit sebelum ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, berdasarkan unjuran dalaman, pengeluar kereta nasional itu kini menguasai hampir 43.9 peratus bahagian pasaran domestik.

“Jumlah pengeluaran dan pendaftaran kenderaan yang direkodkan bagi 2025 menunjukkan Perodua berupaya mengekalkan momentum pertumbuhan serta memperbaiki pencapaian tahun sebelumnya,” katanya.

Dari segi prestasi model, Perodua Bezza terus mendominasi carta jualan dengan 100,488 unit terjual setakat 2025, sekali gus menandakan tahun kedua berturut-turut model itu melepasi angka 100,000 unit.

Ia diikuti oleh Perodua Axia dengan 84,291 unit dan Perodua Myvi sebanyak 72,724 unit.

Menurut beliau, ketiga-tiga model tersebut kekal sebagai penyumbang utama jualan syarikat dan antara kenderaan paling laris di pasaran tempatan.

Mengulas mengenai model baharu QV-E dan Traz, beliau berkata kesan sebenar terhadap prestasi jualan keseluruhan hanya dapat dinilai dengan lebih jelas sepanjang tahun ini.

Dalam masa sama, Perodua turut menegaskan komitmennya terhadap pembangunan industri tempatan melalui pembelian komponen bernilai kira-kira RM11 bilion daripada vendor dalam negara, yang secara langsung menyokong rantaian bekalan automotif serta memperkukuh perniagaan pengedar dan stokis sah.

“Kami akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan industri, termasuk memperluaskan penglibatan dalam sektor kenderaan elektrik dan perkhidmatan digital, di samping meneroka kerjasama strategik baharu yang memberi manfaat kepada ekonomi negara,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pembekal Perodua, Tuan Haji Musa Zahidin Ahmad Zaidi berkata peningkatan pengeluaran dan permintaan komponen memberi kesan positif yang besar kepada syarikat pembekal tempatan.

Presiden Persatuan Pengedar Perodua, Rabitah Shamsudin pula menyifatkan Perodua sebagai antara tunjang utama dalam membina rangkaian pengedaran automotif yang kukuh di Malaysia.

“Walaupun persaingan semakin sengit dengan kemasukan pelbagai jenama baharu, peningkatan jualan Perodua membolehkan pengedar terus berkembang secara mampan,” katanya.

Google ads
Back to top button