
PELANGGAN KINI BOLEH BELI PERODUA QV-E DI 34 CAWANGAN, BUAT TEMPAHAN SECARA MANUAL
Perodua meluaskan jumlah cawangan jualan yang menerima tempahan kenderaan elektriknya, QV-E kepada 34 cawangan terpilih di Semenanjung Malaysia daripada 9 cawangan sebelum ini. Ia bertujuan memudahkan proses tempahan untuk pelanggan memiliki kenderaan EV pertama Perodua.
“Kami menerima maklum balas yang baik daripada pelanggan dari seluruh negara dan kami kini meluaskan jangkauan kami dengan menambah beberapa lokasi lagi supaya pelanggan boleh membuat pandu uji dan menempah Perodua QV-E,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Perodua kini juga membuka tempahan secara manual untuk memudahkan proses berkenaan bagi pelanggannya. “Sebelum ini, kami meminta pelanggan membuat tempahan menerusi super-app kami, P-Circle, tetapi menerusi maklum balas yang kami terima, pelanggan meminta untuk pilihan tempahan secara manual,” kata Zainal.

Perodua juga telah meringkaskan terma dan syarat untuk program sewaan baterinya menerusi penjelasan dalam bentuk infografik. BAAS ialah perkhidmatan bebas yang bertujuan untuk melindungi pelanggan dan alam sekitar. Ia mengenakan langganan sebanyak RM275 (harga tetap) setiap bulan untuk tempoh 108 bulan (9 tahun).
Perodua telah menetapkan harga siling langganan sebanyak RM275 untuk memastikan pelanggan dilindungi daripada kenaikan harga pada masa hadapan. Bateri itu juga akan diselenggara sepenuhnya oleh Perodua sebagai sebahagian daripada pakej yang direka untuk memberikan ketenangan minda walaupun selepas melepasi tempoh 9 tahun.
Peroduaakan memberikan bantuan pentadbiran untuk menukar langganan BAAS kepada pemilik baharu. Sebagai contoh: Jika pemilik sedia ada berhasrat untuk menjual QV-E, mereka perlu memaklumkan Jabatan Pre-Owned Vehicle Perodua untuk mengeluarkan nama mereka daripada senarai program langganan berkenaan dan mendaftar nama pemilik baharu.

Bayaran langganan selama 108 bulan itu juga boleh dipindahmilik, yang mana jika pemilik sedia ada sudah membuat bayaran selama 50 bulan, pemilik baharu hanya perlu meneruskan langganan selama 58 bulan di bawah pelan yang sama.
Zainal berkata program BAAS adalah komitmen Perodua dalam menyediakan keselesaan kepada penggunanya. Pada masa yang sama membantu memelihara alam sekitar dengan mengambil tanggungjawab untuk mengendalikan bateri kenderaan EV.









