Buletin

PERODUA LANCAR AXIA DI SEYCHELLES – HARGA BERMULA RM71,500

Perodua telah melancarkan Axia di Seychelles, menandakan kemasukan jenamanya ke negara kepulauan itu.

Dilancarkan di Hotel Eden Bleu malam tadi, Perodua Axia ditawarkan di sana dalam varian E MT, G AT, SE dan AV dengan harga promosi 235,000 Rupee Seychellois (RM71,500), RS265,000 (RM80,600), RS275,000 (RM83,700) dan RS290,000 (RM88,300).

Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan intelligent variable valve timing yang dipadankan dengan kotak gear manual 5-kelajuan bagi varian E MT dan automatik 4-kelajuan untuk varian-varian lain.

“Kami sangat teruja untuk mengeksport kenderaan Perodua ke Seychelles. Ia memberi peluang kepada kami untuk memperkenalkan jenama Perodua kepada masyarakat berbilang bangsa yang berkunjung ke negara ini untuk bercuti.

“Kami percaya bahawa ini akan memanfaatkan pasaran eksport masa hadapan kami,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd. Dato’ Dr Zahari Husin.

Perodua telah melantik SF Hybrid Motors Pty Ltd sebagai pengedar rasminya di Seychelles bagi mengendalikan jualan dan lepas jualan di sana.

Perodua dan SF Hybrid Motors baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman bagi memasarkan model Perodua di Seychelles kepada pembeli individu dan fleet.

Di benua Afrika, Perodua juga mengeksport kenderaannya ke Mauritius, lebih 3,000 unit kenderaan telah dijual sejak 1996.

Perodua mengakui bahawa prestasi eksportnya masih tidak signifikan pada masa sekarang. Namun, ia dilihat gigih untuk mengembangkan pasaran eksportnya.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan teknikal dan teknologi kami, Daihatsu Motor Company of Japan, dengan memanfaatkan pengalaman dan rangkaian mereka untuk merancangkan eksport yang lebih mampan dan menguntungkan,” kata Dato’ Dr Zahari.

Seychelles merupakan destinasi popular bagi pelancong Eropah dan Afrika. Ini akan membuka lebih banyak peluang eksport melalui pendedahan jenama Perodua.

“Kami amat berbesar hati untuk membawa Perodua ke Seychelles. Kami percaya kepada Perodua dan sebab itulah kami menawarkan waranti tiga tahun sehingga 100,000 km.

“Perodua Axia amat sesuai untuk pasaran Seychelles. Ia menawarkan gaya, keselamatan, ciri-ciri pintar serta kos pemilikan, servis dan alat ganti yang rendah,” kata Pengarah SF Hybrid Motors Christophe Larue.

Seychelles adalah sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada 115 pulau di Lautan Hindi, sebelah timur daratan Afrika.

Google ads
Back to top button