
PERODUA MYVI DILANCARKAN DI SINGAPURA. RM197,093!
Perodua Myvi generasi ketiga telah dilancarkan secara rasmi di Singapura. Ia ditawarkan dalam dua varian, 1.3 X AT dan 1.5 H AT . Model tersebut berharga SGD64,800 (RM197,093) dan SGD69,800 (RM212,301), termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta Sijil Kelayakan (COE).
Majlis pelancaran diadakan pada Sabtu lepas di pusat jualan dan servis Perocom Auto Pte Ltd di Ubi, dihadiri oleh kira-kira 250 orang pelanggan. Perocom Auto merupakan pengedar sah Perodua yang tunggal di Singapura.

“Kemasukan Myvi generasi ketiga ke Singapura adalah penting bagi jenama kami walaupun berdepan dengan halangan untuk memasuki pasaran matang ini. Ini juga menandakan destinasi eksport pertama bagi model ini di bawah jenama Perodua,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Walaupun Perodua sudah mula mengeksport Myvi generasi ketiga ke Indonesia, namun model tersebut menggunakan jenama Daihatsu di sana dan dinamakan sebagai Sirion.
Bilangan kenderaan baharu yang didaftarkan di Singapura berbeza dari tahun ke tahun, iaitu sebanyak 80,281 unit pada 2018, 91,922 pada 2017, 87,504 pada 2016 dan 57,589 pada tahun 2015, berdasarkan statistik Lembaga Pengangkutan Darat (LTA).

Walaupun kecil, pasaran automotif Singapura adalah antara yang paling dikawal selia di rantau ini.
“Perodua Myvi mendapat sambutan yang sangatbaik oleh rakyat Malaysia, dan di Singapura turut terdapat sekumpulan peminat setia yang menanti-nantikan ketibaan model generasi ketiga ini,” kata Pengarah Urusan Perocom Auto Pte Ltd En John Ng.
Dilancarkan di Malaysia pada November 2017, Perodua Myvi generasi ketiga merupakan model paling canggih yang dikeluarkan oleh Perodua setakat ini, menawarkan kualiti tinggi, teknologi dan kecekapan bahan api dalam sebuah pakej yang kompak serta bergaya.

Tambahan pula, bahagian upper body Myvi generasi ketiga direka sepenuhnya oleh Perodua.
Perocom Auto, pengedar sah Perodua yang tunggal di Singapura sejak 1997, telah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama, Viva, Axia dan Bezza di negara tersebut.
Lebih 110,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga telah menemui pemiliknya di Malaysia setakat ini.