Buletin

PERODUA LANCAR PUSAT BADAN & CAT DI KELANTAN – PELABURAN SEBANYAK RM2 JUTA

Perodua telah memperkenalkan pusat Badan Kenderaan dan Cat (B&P) yang ke-66 untuk memenuhi keperluan para pelanggan di Pantai Timur.

Pusat baharu yang bernilai RM2 juta ini dimiliki dan dikendali sepenuhnya oleh pengedar Perodua, Nasrom (M) Sdn. Bhd.

“Kami mengiktiraf dan menghargai pelaburan yang dibuat oleh Nasrom (M) serta komitmen mereka dalam memenuhi keperluan pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dato’ Dr Zahari Husin.

Perodua akan terus menambahbaik kemudahan B&P yang sedia ada dan mewujudkan kemudahan baru dalam memenuhi keperluan lebih 3.2 juta pemilik kenderaan Perodua di seluruh negara.

Selain meningkatkan kemudahan kepada para pelanggan, fasiliti baharu ini juga membuktikan komitmen Perodua dalam mengembangkan eko-sistem ​automotif tempatan, terutamanya pengedar bebas seperti Nasrom (M).

Berada di kawasan seluas 17,000 kaki persegi, kemudahan B&P baharu ini mampu membaiki sehingga 1,080 kereta setahun. Fasiliti itu terletak di Lot 12972 & 12973, Kg Padang Kala, Daerah Peringat, 16150 Kota Bharu.

“Dengan kemudahan baharu ini, pelanggan kami akan dijamin dengan mutu kerja yang berkualiti dan alat ganti tulen. Kakitangan kami juga akan membantu dalam proses tuntutan insurans.

“Kami faham bahawa membaiki kenderaan memang memberi tekanan. Tetapi kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan pengalaman anda menjadi mudah dan menyenangkan,” kata Pengarah Urusan Nasrom (M), Ab. Alim @ Ab. Halim Hassan.

Dilantik sebagai pengedar sah Perodua sejak 1994, Nasrom (M) turut mengendalikan cawangan 1S dan cawangan 2S di Kubang Kerian.

Daripada 66 buah pusat B&P Perodua, tujuh terletak di Pantai Timur, meliputi kawasan Kuala Terengganu, Kemaman, Kuantan, Jerantut dan Kota Bharu.

Google ads
Back to top button