Buletin

PERODUA MAHU JUMPA AZWAN VIVA. NAK BAGI KERETA KE?

Dalam ramai-ramai sukarelawan banjir, seorang lelaki bernama Azwan Omar, 29, nampaknya yang paling menyerlah.

Ini kerana dia yang memandu sebuah Perodua Viva dikatakan sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi membantu mangsa banjir di Shah Alam, Selangor.

Lebih mengagumkan, dia yang juga digelar sebagai abang Viva di media sosial sanggip membawa sebuah bot getah yang digunakan untuk memancing menaiki Viva menuju ke Selangor seorang diri dari Melaka.   

“Saya pun tak mengharap apa-apa apatah lagi hendak popular kerana datang sana (Selangor) dengan niat ikhlas hendak bantu, malah saya pun tak tahu siapa rakam gambar saya dan tularkan.

“Kalau hendak bantu kewangan saya pun kurang, jadi saya rasa mampu bantu dari segi tenaga,” kata Azwan seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro sebelum ini.

Menurut Azwan, dia tidak mengharapkan ganjaran mahupun pujian kerana niatnya cuma mahu membantu mereka memerlukan memandangkan musibah banjir yang melanda Selangor amat luar biasa kali ini.

Malah, Azwan dikatakan hanya membawa wang sebanyak RM50 dengan RM20 digunakan untuk petrol bagi kegunaan bot dan bakinya membeli roti. Sampai begitu sekali pengorbanan yang dilakukannya.

Hebat betul…

Kini, pengorbanan Azwan mendapat perhatian pengeluar kereta kompak nasional, Perodua. Ini kerana orang ramai mula memuat naik hantaran mengenai Azwan kepada Perodua sejak pagi tadi.

Memandangkan kereta yang dipandu oleh Azwan ialah Perodua Viva, maka netizen berpendapat Perodua patut memberikannya sebuah kereta baharu.

Belum sampai 24 jam, seorang pengguna di Twitter dikenali sebagai @UsharDaniele memuat naik satu ciapan meminta nombor telefon Azwan.

Siapa boleh kongsi nombor Abang Viva dengan segera? pihak Perodua sedang cari dia,” ciapnya.

Azwan kini dikatakan sudah berada di Temerloh untuk meneruskan misinya bagi membantu mangsa banjir di daerah tersebut. – K! ONLINE, Harian Metro

Google ads
Back to top button