Buletin

PERSENDA DAN SALAH GUNA KEMUDAHAN OKU, POLIS BURU EMPAT INDIVIDU

Polis sedang mengesan semua suspek yang mempersendakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi aplikasi media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita semasa berada di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Pengadu menonton dua klip video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok yang mempersendakan OKU dan menyalahgunakan kemudahan OKU.

Video pertama membabitkan dua lelaki yang berlagak sebagai OKU di tempat letak kereta OKU di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

Suspek didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya memarkir kenderaan mereka di tempat letak kereta OKU. Selain menggunakan bahasa kasar serta tidak sopan.

‚ÄúVideo kedua pula mengenai dua wanita yang menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak. Mereka mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang dan bergelak ketawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengadu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kerana beranggapan semua individu itu menghina komuniti OKU di Malaysia secara terang-terangan dan menggunakan warga OKU sebagai bahan menarik perhatian pengguna di media sosial.

Justeru, polis kini sedang mengesan semua suspek berdasarkan maklumat yang disalurkan.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” katanya.

Google ads
Back to top button