Artikel Pilihan

PETRONAS SPRINTA BUKTIKAN KEHEBATAN MEREKA DI ASSEN



Tidak ada lagi pentas lain yang paling sesuai untuk PETRONAS memperkenalkan produk baru mereka, PETRONAS Sprinta formulasi baru selain perlumbaan MotoGP.

Matahari yang bersinar terang di litar Assen gagal menyaingi kehebatan pelumba rookie PETRONAS Yamaha SRT, Fabio Quartararo yang berjaya merebut pole position ketiga beliau musim lepas dengan menggunakan jentera Yamaha YZR-M1.

Kecekapan dan kebijaksanaan Fabio menguasai kelajuan merupakan pencapaian terbaru kepada pasukan baru ini dan memberi kesan positif terhadap produk-produk yang dibangunkan khusus oleh PETRONAS untuk kegunaan MotoGP.

Diformulasikan khusus untuk disesuaikan dengan karektor Yamaha YZR-M1, Sprinta dijangkakan mampu meningkatkan prestasi dan ketahanan enjin selain menjadikan enjin lebih bersih. Lebih membanggakan lagi kerana pembangunan pelincir Sprinta ini dihasilkan di Melaka dan keseluruhan proses pembangunan dan pengeluaran diselesaikan hanya dalam masa kurang dari setahun.   

Selepas berjaya merangkul petak pertama dalam sesi ujian, pelumba tersebut membuat kemunculan dalam sesi sidang media untuk mengumumkan kerjasama antara PETRONAS Sprinta dan PETRONAS Yamaha SRT dalam saingan MotoGP.

“PETRONAS mempunyai motivasi penuh untuk menunjukkan kemampuan teknologi dan produk keluaran mereka,” jelas Pengurus Besar Brand Management Department PETRONAS, Noor Afiza Mohd Yusoff.

Sewaktu mula membangunkan projek Sprinta ini, mereka diberikan masa dua tahun untuk menyiapkannya. Ia bagaimanapun berjaya disiapkan hanya dalam masa kurang satu tahun. bukan itu sahaja, mereka juga berjaya mengasimilasikan dua produk ke dalam jentera ini –minyak transmisi (Tutela) dan minyak pelincir (Sprinta).

“Lebih istimewa lagi ialah kejayaan dicapai dalam jangka masa yang singkat selepas Fabio berjaya menawan petak pertama dan kemudian berjaya menamatkan perlumbaan di atas podium,” sambung Afiza.

Keseronokkan itu juga dirasai oleh Dato Razlan selepas mereka memperolehi petak pertama dan podium sebaik PETRONAS memperkenalkan dua produk mereka untuk jentera M1 PETRONAS Yamaha SRT. Is sesuatu yang sangat bermakna tetapi tidak bermakna mereka boleh duduk goyang kaki selepas ini.

Pada peringkat awal, mereka membangunkan Tutela terlebih dahulu kerana kotak gear memainkan peranan yang cukup penting dalam memastikan keselamatan penunggang. Tidak boleh dibayangkan apa yang bakal berlaku jika kotak gear mengalami kegagalan pada kelajuan melebihi 300 km/j.

Kemudian tumpuan diberikan kepada Sprinta dengan berfokuskan kepada peningkatan prestasi dan ketahanan. Prestasi tinggi sahaja tanpa ketahanan bukanlah satu formula bijak dalam perlumbaan. Dengan kata lain apa guna kelajuan jika ia tidak kekal lama. Lebih teruk lagi jika ia merosakkan enjin dan menyebabkan pelumba gagal menamatkan perlumbaan.

Akhir sekali Fabio menyatakan kegembiraan beliau kerana berjaya menguasai motosikal YZR-M1 dengan baik dan cepat selain sokongan daripada PETRONAS dan kru-kru pasukan yang bekerja seperti satu keluarga besar membolehkan mereka mengecap kejayaan demi kejayaan dalam masa yang cukup singkat.  

BACA: BICARA TEKNIKAL: PETRONAS SPRINTA ULTRAFLEX™

Google ads
Back to top button