Modifikasi

VANNETE DEMO CAR

Demo van lagi. Bukan ke ini kereta yang sama dari Kelantan tu? Oh. Lain rupanya. Mungkin warna merah dan model Vanette yang berkongsi rupa. 

DSC_0872

Selain daripada itu, ia merupakan kenderaan yang berbeza. Apabila bercakap tentang demo sistem audio untuk produk SPL, tidak ada kenderaan lain yang lebih sesuai SELAIN sebuah van. Apabila ia sebuah Van, Nissan Vanette menjadi pilihan nombor satu.

Vanette dipilih kerana reliabilitinya sebagai kenderaan komuter yang tahan lasak dan jarang meragam. Tentu sahaja anda tidak mahu van ini tersadai di tepi jalan dalam perjalanan ke tapak pertandingan audio.

DSC_0875

Platform van ini dipilih kerana saiznya. Saiz memanglah perkara yang kritikal jika anda ingin memuatkan perkakasan audio dalam jumlah yang besar. Gandingan peralatan sebegini bukanlah satu sistem yang dimiliki individu. Lazimnya sebagai kereta demonstrasi syarikat.

Ini merupakan kenderaan demo milik Adam’s Digital yang dipamerkan di salah sebuah pusat edaran mereka di Johor Bahru. Adam’s Digital terkenal dengan produk SPL yang terdiri daripada power amp berkuasa tinggi dan sub EX1000 yang ‘meletup’ itu.

DSC_0907

Ada berapa unit sub? Ada 16 unit semuanya. Sub Adams EX 1000 memenuhi seluruh ruang belakang van dengan pemasangan menegak dan terbuka yang dilakukan secara terus.

Kesemua unit sub ini mendapat bekalan kuasa daripada empat buah amplifire ADS2400.1D. Amp jenis monoblok kelas D ini adalah pilihan utama kebanyakan peminat SPL yang serius atau mereka yang perlukan kuasa mutlak untuk menghentam woofer di dalam boot kereta bersaiz biasa.

DSC_0908

Sejak diperkenalkan hampir 10 tahun yang lalu, rekaan fizikal amp ini tidak banyak berubah. Ia begitu identikal dengan rangkaian produk Adam’s secara keseluruhannya.

Pemain CD JVC KD-R206 menunjangi keseluruhan sistem dengan pembahagian frekuensi utama dibuat menerusi pemasangan dua buah pre-amp Adam’s ADP100MS yang disambungkan kepada dua buah crossover aktif AD3980. Satu digunakan untuk rangkaian sub yang disebutkan tadi. Manakala satu lagi menguruskan gelombang mid dan tweeter.

DSC_0920

Sebanyak 8 buah mid Adam’s siri Energy model EX600 dipasang dengan cukup kemas di sisi belakang sub tadi. Kemasan ini dibuat dengan perubahan besar pada perumah yang diperbuat dari kayu nipis untuk menyokong enclosure dan sebagai penebat gelombang belakang magnet. Kesemua unit mid ini mendapat kuasa daripada power amp 4 saluran ADS80.4. Ya. Cuma satu amp untuk memandu kesemua speaker tersebut. .

Membina pakej demo sistem audio SPL tentunya memerlukan kenyaringan bunyi vokal, di samping dentuman bass yang padu. Rahsia bunyi vokal yang ‘tajam’ selalunya datang daripada tweeter jenis horn.

DSC_0905

Van ini dipasangkan dengan lapan buah tweeter yang diletakkan di bahagian tailgate dan perumah di atas midbass. Keupayaannya untuk mengekstrak frekuensi tinggi tidak lagi menjadi isu apabila digabungkan dengan bekalan kuasa daripada power amp 4 Channel ADS 80.4.

Kestabilan bekalan kuasa dari amp kepada semua speaker diselia oleh enam buah kapasitor digital 2.0 farad yang menjanjikan saluran kuasa tanpa sekatan. Pembinaan demo SPL yang serius memerlukan peralatan seperti ini dan ia bukanlah gimik semata-mata.

DSC_0902

Dengan ribuan watt yang sentiasa mengalir daripada kuasa utama kepada speaker, penggunaan kapasitor amatlah membantu supaya tidaklah malu apabila muzik yang di blast tiba-tiba ‘melompat’ akibat kuasa yang tersekat-sekat.

Kebanyakan demo car yang pernah saya lihat sebelum ini agak caca-marba dari segi pengaturan pemasangannya. Tapi kredit harus diberikan pada van ini yang dipasang dengan sangat kemas.

DSC_0886

Ia sebuah kereta demo yang benar-benar didemokan dari segi bunyi mahupun visual. Setiap peralatan diposisikan dengan teratur. Amp digantung di dinding tanpa ada  wayar berselirat. Pemain utama dipadankan pada jek individu bersama pre amp dan kalau mungkin sedikit bersepah, ia adalah cross over.

Kemasan warna merah yang dijadikan latar belakang bahagian dalamannya juga sesuai dengan tema Adams dan bahagian luarannya. Badannya dilayangkan dengan airbrush yang kemas. Pelekat badan, warna dan akhir sekali anda memang sedar bahawa van ini memang dibina dengan serius dan terjaga rapi. 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button