Pandu Uji

PEUGEOT 3008 ALLURE, SUV PERANCIS UNTUK PEMANDU YANG BERANI MENCARI KELAINAN

Memang susah untuk sebut perkataan yang betul bila kita sudah dibiasakan dengan perkataan yang salah semenjak dari kecil lagi. Salah satu contoh terbaik ialah bagaimana untuk menyebut Peugeot dengan betul kerana di kampung penulis kebanyakan orang akan menyebut “Pijot” atau “Pujot”.

Sebutan yang sebetulnya ialah Puh-Zhow (phe zhow) setelah penulis mencari sebutan yang betul dengan bantuan pakcik Google. Ini adalah masalah biasa bagi rakyat Malaysia kerana kita bukan jajahan Perancis dan tidak menggunakan bahasa Perancis walaupun kita sukakan cheese.

Perkataan Allure pula disebut alo (auh·luor), jadi tahniah kepada pembaca yang berjaya menyebut perkataan ini dengan betul dengan air liur tersembur di muka kawan anda. Peugeot 3008 Allure merupakan varian tertinggi dan tunggal yang ditawarkan di sini pada harga RM161,616.

Sejak 3008 dilancarkan pada tahun 2016, model yang anda lihat pada hari ini ialah varian yang telah dinaik taraf pada tahun 2020 dengan mengalami perubahan ketara pada bahagian depan. Jeriji utama sekarang direka dengan menggunakan jeriji terapung dan logo singa ditampal di bahagian tengah seolah-olah timbul dengan efek 3D

Peugeot juga telah menambah satu lagi elemen dramatik iaitu lampu nyalaan siang LED Fang di bahagian kiri dan kanan arah depan menggambarkan ia seolah-olah taring singa. Lampu depan projektor menggunakan rekaan baru LED yang lebih moden, lampu isyarat membelok sequential serta lampu membelok (cornering lamp).

Cornering lamp ini akan menyala jika anda memberi isyarat membelok atau menggunakan stereng untuk membelok ke kiri atau kanan.

Bahagian belakang masih mengekalkan rekaan lama. Namun menggunakan rekaan lampu baru 3D LED Claw serta perumah lampu yang digelapkan sedikit bagi efek yang lebih sporty. Pintu ruang kargo boleh dibuka dengan menggunakan suis kawalan jauh bagi mendapat akses ruang kargo sebesar 591 liter.

Tapi ada pendekatan istimewa yang dibuat oleh Peugeot pada model 3008, ia tidak mencuba menjadi terlalu SUV dengan penggunaan penutup plastik (plastic clading) yang berlebihan seperti sesetengah crossover lain. Ia masih menggunakan plastic clading, tapi dibuat secara minima selain daripada menggunakan roof rail yang boleh digunakan untuk memasang kotak tambahan di atas bumbung.

Sebaliknya 3008 banyak menggunakan elemen krom bagi menyerlahkan rekaannya yang tersendiri. Elemen krom ditemui pada panel bawah pintu, di antara penutup enjin dan fender depan serta di bawah jeriji depan bagi menggantikan skid plate. Model 3008 sangat mementingkan gaya dan paras rupa yang kacak berbanding maskulin.

Peugeot 3008 dikuasakan oleh enjin Prince 1,600cc THP empat silinder turbo yang menjana sekitar 165 kuasa kuda dan tork maksima 240Nm masuk seawal 1,400rpm. Semua kuasa enjin akan dihantar kepada roda depan menerusi transmisi automatik 6 kelajuan. Ya, model ini tidak ditawarkan dengan pacuan semua roda, tapi kami akan jelaskan kemudian.

Jika anda menjenguk di bahagian dalam, perkara pertama yang menarik perhatian ialah rekaan i-Cockpit direka dengan elemen futuristik. Anda takkan jumpa rekaan yang sangat berani ini pada mana-mana kereta buatan Jepun, Korea mahupun Continental yang lain.

Head Up Display (rujukan Peugeot pada meter digital) diletakkan tinggi di atas papan pemuka berbanding dengan rekaan biasa. Disebabkan rekaan ini, roda stereng dikecilkan sedikit berbanding biasa bagi membolehkan anda melihat paparan meter dengan jelas di atas stereng. Bukan melihat meter menerusi stereng seperti kebiasaan.

Kebanyakan butang fizikal direka dengan elemen seperti suis pesawat (atau kuku singa), bagi mengaktifkan ciri seperti penyaman udara, unit pemain multimedia, ciri navigasi dan sistem keselamatan lain. Tekan butang ini dan tekan pula di skrin sentuh bagi meneruskan arahan yang seterusnya.

Peugeot 3008 juga dipasang dengan cermin suria dan cermin moonroof bagi memberikan sentuhan elemen moden. Jika pentup tirai dibuka secara automatik, ruang dalaman kabin menjadi sangat lapang dan luas. Pada waktu malam pula, ruang kabin ini akan disimbahi cahaya lampu biru lembut pada ruang yang strategik.

Memang nampak moden, luas dan mewah ruang dalaman Peugeot 3008, ditambah pula jarak antara roda ditetapkan pada 2,730mm, kurang 20mm daripada Alza. Dari segi kualiti pemanduan, Peugeot tidak meniru mana-mana pesaing.

Ia memang sangat selesa dan senyap jika dipandu atas lebuh raya, sekadar 52dB sahaja bunyi menerjah masuk pada halaju 90km/j. Penulis secara tidak sengaja juga menjumpai pelapik kedap bunyi yang dipasang pada bahagian lantai, ia setebal 5mm. Jadi tidak hairanlah keadaan dalam kabin amat senyap sewaktu dipandu.

Elemen keselesaan ini diperkuatkan lagi dengan penggunaan penyerap hentak yang agak lembut jika dibandingkan dengan Volkswagen Tiguan Allspace yang kami uji bulan lepas. Dengan jarak kelegaan permukaan jalan mencecah 198mm, maka anda akan terasa sedikit olengan cesi jika selekoh diambil dengan laju dan bersemangat.

Apatah lagi ratio stereng dihasilkan dengan sedikit pendek menjadikan sebarang perubahan pada stereng memberi kesan segera pada cesi. Bagi mendapatkan ruang kargo yang besar, 3008 menggunakan suspensi torsion beam pada bahagian belakang dan topang McPherson di depan.

Pada pandangan penulis, dalam mode pemanduan normal pedal minyak, respon enjin dan kotak gear 6 ditala supaya lembut serta selesa. Tekan saja pedal, anda akan lihat meter halaju dan RPM akan naik dengan perlahan-lahan tanpa memberikan sentapan pada badan.

Jika anda rasa respon dan talaan kotak gear serta enjin ini terasa “malas”, tekan sahaja butang Sport di bawah tombol gear. Anda akan rasa 3008 akan menjadi sedikit buas dengan respon enjin menjadi pantas serta gear ditukar pada RPM yang lebih tinggi. Tapi penulis lebih sukakan karekter 3008 ketika dalam mode Normal.

Oh ya, anda akan perasan ada satu butang rotari kawalan khas yang dipasang berhampiran tombol gear. Ia menawarkan mode pemanduan Standard bagi jalan raya biasa, Snow, All Terrain (semua permukaan), Sand atau ESP off. Butang ini jika diaktifkan akan menawarkan ciri Advanced Grip Control walaupun 3008 tidak ditawarkan dengan ciri pacuan semua roda.

Fungsi Advanced Grip Control yang ditawarkan oleh Peugeot ini sebenarnya ciri khas bagi membolehkan 3008 dipandu atas pemukaan halan yang licin dan kurang mencengkam walaupun hanya menggunakan pacuan tayar depan sahaja. Ia dibangunkan khas dan diuji oleh Peogeot di Artic Circle khas untuk platform PSA pacuan depan.

Tujuan sistem pacuan depan khas itu dibangunkan ialah Peugeot ingin mengelakkan penggunaan sistem pacuan semua roda dengan mekanisme center differential yang berat dan pasti menjejaskan purata penggunaan bahan api.

Disebabkan sistem Advanced Grip Control dibangunkan dengan sensor Electronic Stability Control, ia jauh lebih ringan dan membantu memberikan purata bacaan bahan api lebih bagus. Bagi memastikan sistem itu berkesan, Peugeot 3008 menggunakan tayar All Wheather Continental Contact Grip yang lebih mencengkam.

Anda boleh lihat satu video demonstarasi bagaimana 3008 yang menggunakan sistem ini memecut dengan lebih baik berbanding dengan Peugeot 4008 yang menggunakan sistem 4×4. Tapi sayang Peugeot 3008 tidak diberikan ciri keselamatan terkini iaitu brek kecemasan automatik dan amaran pra-perlanggaran.

Tetapi ia masih dilengkapkan dengan Lane Keep Assist, Lane Departure Prevention, Sistem Amaran Titik Buta, sistem amaran halaju berdasarkan papan tanda amaran dan Attention Warning System. Bermaz yang merupakan pemegang hak jenama Peugeot turut menawarkan pakej jualan yang amat menarik iaitu 5+5.

Peugeot 3008 diberikan 5 tahun jaminan atau 100,000km pertama, 5 tahun servis percuma yang merangkumi alat ganti, minyak pelincir dan kos upah buruh. Semua itu termasuk dalam harga jualan iaitu RM161,616 yang merupakan tawaran amat menarik pada pendapat penulis.

Jadi dalam 5 tahun anda tidak perlu risaukan apa-apa melainkan harga petrol yang mungkin akan meningkat selepas pilihanraya nanti. Selepas memandu Peugeot 3008 selama beberapa hari, penulis mulai faham siapakah pemandu yang akan membeli SUV dari Perancis ini.

Biasanya pembeli atau pemandu Peugeot 3008 ada citarasa yang tinggi pada rekaan sesebuah kenderaan, sama ada rekaan luar ataupun dalam. Selain amat mementingkan keselesaan dalam pemanduan, seorang yang tenang dan berani melawan pendapat ramai kerana dia ada prinsip yang perlu dipertahankan.

Pendek kata, Peugeot 3008 adalah untuk seorang pemilik berduit dan berani menjadi lain daripada yang lain.

Google ads
Back to top button