MCMC BERI AMARAN KERAS KEPADA SYARIKAT KURIER VIRAL
Pengurusan syarikat kurier yang viral pekerjanya mengendalikan bungkusan pelanggan dengan kasar telah diberi amaran keras supaya mengambil langkah bagi memperbaiki tatacara pengendalian.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata ia memandang serius insiden yang viral itu dan telah mengarahkan syarikat kurier terbabit untuk memberi penjelasan.
MCMC berkata semua syarikat kurier yang berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 harus sentiasa mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan terutama dalam melindungi hak pengguna bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak diambil terhadap mereka.
“Sekiranya pemegang lesen didapati ingkar dan melanggar mana-mana perundangan subsidiari di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012, syarikat tersebut boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM300,000 atau tempoh penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
MCMC juga menasihatkan pengguna untuk memahami dan mengetahui hak mereka sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penghantaran dan menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat sebarang aduan dan tuntutan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barangan semasa dalam tempoh penghantaran.
Sekiranya pengguna tidak berpuas hati dengan resolusi yang ditawarkan, permohonan rayuan boleh dikemukakan kepada MCMC di https://aduan.skmm.gov.my/ berserta maklumat lengkap supaya siasatan dan tindakan susulan boleh diambil, katanya. – Bernama
- BACA: 7 PEKERJA J&T PERAK MINTA MAAF. TIADA ISU DENGAN SYARIKAT KATANYA…
- BACA: BERANG PERUBAHAN SISTEM KOMISEN, PEKERJA J&T MENGAMUK. BARANG PELANGGAN PULA JADI MANGSA
- BACA: RIDER YG TAK PUASHATI, BOLEH CARI KERJA LAIN – BOS FOODPANDA
- BACA: COVID-19: POS MALAYSIA HENTI SEMENTARA KHIDMAT MEL, BUNGKUSAN DAN EMS ANTARABANGSA