
PEUGEOT E-308 FACELIFT 2025: BATERI LEBIH BESAR, TAWAR JARAK GERAK 450KM
Peugeot kembali mencuri perhatian apabila memperkenalkan versi facelift bagi model elektrik sepenuhnya E-308 dan E-308 SW, meskipun kenderaan ini baru sahaja memasuki pasaran sekitar 2023.
Pelancaran awal facelift pada pertengahan 2025 dianggap luar biasa, kerana biasanya kitaran produk memakan masa lebih lama.
Selain perubahan kosmetik, kemas kini kali ini memberi tumpuan besar kepada teknologi pemanduan. Platform EMP2 yang menjadi asas kepada E-308 turut digunakan oleh Opel Astra Electric, namun kali ini Peugeot menambah baik komponen utama termasuk bateri.

Kini, E-308 dilengkapi pek bateri baharu berkapasiti kasar 58.4kWh, menggantikan bateri lama 54kWh.
Peningkatan ini dijangka memberikan jarak pemanduan sekitar 450km mengikut anggaran Peugeot, berbanding maksimum 412km sebelum ini.
Walaupun kapasiti meningkat, sistem motor elektrik 115 kW kekal sama dan masih menggunakan seni bina 400 volt. Ini bermakna kadar pengecasan pantas tidak berubah – dari 20% hingga 80% mengambil masa lebih kurang 32 minit pada pengecas 100kW.

Untuk pengecasan AC, pengecas onboard tiga fasa 11kW diberikan sebagai standard. Menariknya, model ini juga menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L), yang membolehkan tenaga sehingga 3.5kW digunakan untuk menghidupkan peralatan luaran melalui penyesuai khas.
Mulai 2026, sistem Plug&Charge akan ditawarkan, membolehkan kenderaan diiktiraf secara automatik di stesen pengecas tanpa memerlukan kad atau aplikasi tambahan.
Satu lagi ciri baharu ialah perancang laluan pengecasan pintar. Tidak seperti sistem lama yang hanya memaparkan hentian statik, versi terkini boleh mengira laluan paling efisien berdasarkan baki tenaga bateri, keadaan lalu lintas, kelajuan, jenis jalan dan juga ketinggian laluan.

Dari segi penampilan, E-308 kini mengikuti identiti jenama Peugeot terkini seperti yang dilihat pada E-3008 dan E-5008. Gril asal diganti dengan rekaan lebih aerodinamik, lampu siang LED baharu, dan varian GT ke atas mendapat logo hadapan bercahaya buat pertama kali.
Rekaan bampar baharu serta rim yang dikemas kini bukan sahaja memberi gaya lebih segar, malah meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Harga rasmi masih belum diumumkan, tetapi tempahan untuk versi hatchback dan wagon dijangka dibuka pada musim luruh 2025.

