Buletin

FERRARI 849 TESTAROSSA TIBA DI MALAYSIA – HARGA MULA RM5.2 JUTA

Ferrari kembali menghidupkan nama legenda Testarossa menerusi pelancaran model baharu 849 Testarossa, sebuah supercar hibrid plug-in yang kini mengambil alih posisi Ferrari SF90 Stradale dalam barisan model pengeluar dari Maranello itu.

Dengan gabungan enjin V8 turbo berkembar dan tiga motor elektrik, model ini menghasilkan kuasa keseluruhan mencecah 1,050cv — 50cv lebih tinggi berbanding model sebelumnya.

Rekaan baharu ini bukan sahaja tampil lebih agresif dan futuristik, malah turut membawa inspirasi kuat daripada jentera perlumbaan Ferrari era 1970-an.

Nama Testarossa sendiri mempunyai sejarah panjang dalam dunia Ferrari, bermula daripada jentera perlumbaan 500 TR pada 1956 sebelum menjadi ikon automotif menerusi model Testarossa 1984. Ferrari Testarossa

Jantung utama 849 Testarossa ialah enjin V8 4.0 liter turbo berkembar generasi baharu yang dibangunkan semula sepenuhnya.

Enjin kod F154FC itu kini menghasilkan 830cv dengan output spesifik 208cv/liter, sekali gus menjadi antara enjin V8 Ferrari paling berkuasa pernah dihasilkan untuk model produksi jalan raya.

Sistem hibridnya pula menyumbang tambahan 220cv melalui satu motor elektrik di belakang serta dua motor di gandar hadapan yang membolehkan sistem pacuan semua roda berfungsi secara pintar.

Ferrari turut memperkenalkan turbo terbesar pernah digunakan pada model produksinya bagi meningkatkan pecutan dan prestasi pada putaran tinggi.

Walaupun lebih berkuasa, berat keseluruhan model ini dikekalkan setara dengan SF90 Stradale hasil penggunaan komponen ringan seperti titanium, aluminium kitar semula dan pelbagai teknologi berinspirasikan perlumbaan.

Dari sudut aerodinamik, 849 Testarossa menjana daya mendap sehingga 415kg pada kelajuan 250km/j, meningkat 25kg berbanding SF90 Stradale.

Ferrari menyatakan peningkatan itu dicapai melalui reka bentuk baharu seperti diffuser multi-level, spoiler aktif generasi terkini dan seni bina “twin-tail” yang diinspirasikan daripada Ferrari 512 S.

Bahagian kabin pula menerima pendekatan lebih moden dan ergonomik dengan susun atur berinspirasikan kokpit kereta lumba.

Stereng kini kembali menggunakan butang mekanikal termasuk butang ikonik ‘Engine Start’, selain sistem HMI generasi baharu yang lebih intuitif.

Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto turut disediakan bersama sistem MyFerrari Connect untuk pemantauan kenderaan secara jarak jauh.

Ferrari turut menawarkan pakej Assetto Fiorano untuk pelanggan yang mahukan karakter lebih ekstrem di litar.

Pakej ini mengurangkan berat sekitar 30 kg melalui penggunaan rim gentian karbon, komponen titanium serta talaan suspensi khas. Ia juga hadir dengan elemen aerodinamik tambahan yang meningkatkan daya mendap secara signifikan.

Untuk harga asas tanpa cukai bagi pasaran tempatan, model berkenaan ditawarkan pada harga bermula dari RM2,188,000 dan RM2,368,000 bagi versi 849 Testarossa Spider.

Harga selepas cukai masing-masing RM5.2 juta dan RM5.7 juta.

Sebagai tambahan, Ferrari mengekalkan program penyelenggaraan tujuh tahun untuk 849 Testarossa, termasuk servis berkala dan sokongan penuh rangkaian rasmi Ferrari di seluruh dunia. Ferrari

GALERI:

Google ads
Back to top button