Buletin

POLESTAR MAMPU TAMBAH KUASA PADA RODA BELAKANG – LAGI SERONOK!

Volvo memang terkenal dalam aspek keselamatan dan reka bentuk tersendiri. Namun itu masih tidak memadai untuk bersaing dengan jenama premium lain seperti Audi, BMW dan Mercedes-Benz.

Kekurangan Volvo terletak pada rasa di antara kereta dan pemandu. Volvo masih sedap dipandu cuma lebih nikmat jika tahap pengendalian dan pemanduannya berada pada liga kereta Jerman.

Volvo sedar akan hal ini dan situlah Polestar memainkan peranannya untuk menjadikan kereta lebih asyik dan sedap dipandu.

Terbaru Polestar telah membangunkan satu naik taraf perisian bagi meningkatkan agihan tujahan (torque) kepada roda belakang untuk kenderaan Volvo yang dilengkapi sistem pacuan kesemuan roda (AWD).

Perisian yang dioptimasi ini berupaya untuk meningkatkan jumlah dan kekerapan agihan tujahan kepada roda belakang, menambah baik stereng dengan pembaikan ‘turn-in’, kawalan dan interaksi lebih baik semasa selekoh dan memperbaiki cengkaman semasa memecut.

Kesemua ini dapat memberikan pemanduan yang lebih ‘sedap’ dan rasa sebati di antara pemandu dan kereta.

Mod optimasi AWD ini terpilih apabila seleksi mod Dynamic digunakan atau apabila fungsi Kawalan Penstabilan Elektronik dimatikan.

Fungsi pengagihan tujahan kepada roda belakang ini sebenarnya tambahan kepada optimasi naik taraf perisian Polestar.

Ciri-ciri lain naik taraf perisian Polestar ialah respon pendikit lebih pantas, respon nyah pendikit (off-throttle) lebih pantas, tukaran gear lebih pantas, poin tukaran gear optimum dan pegangan gear semasa selekoh (in-gear holding) dan semestinya perkara yang wajib iaitu peningkatan kuasa enjin.

Jika diperhatikan seolah-olah Volvo sengaja membiarkan model standard keluarannya terkenal dengan keselamatan dan reka bentuk manakala pemanduan yang sedap pula berdasarkan selera masing-masing.

Ciri-ciri yang dinyatakan di atas tidak terbina (built in) seperti kereta buatan Jerman.

Program naik taraf Polestar AWD ini boleh didapati bermula bulan ini untuk pelbagai model Volvo petrol dan diesel bermula dari siri 90, siri 60 dan XC40.

BACA: VOLVO XC40 CATAT 5 BINTANG EURO NCAP – MAKAN APA HEBAT SANGAT NI?

BACA: KERETA BUATAN CHINA LEBIH BERKUALITI BERBANDING EROPAH – VOLVO

Google ads
Back to top button