Buletin

FORD TERRITORY – SUV MAMPU MILIK UNTUK CHINA

Ford baru-baru ini mendedahkan imej SUV saiz sederhana yang didakwa bakal ditawarkan pada harga mampu milik, padat dengan teknologi dan menarik untuk pasaran China.

Dibina dengan rakan kerjasama, Jiangling Motors Corporation (JMC), Ford Territory disasarkan ke bandar-bandar China yang pesat membangun.

Kolaborasi itu memanfaatkan pengetahuan luas JMC terhadap citarasa pelanggan tempatan dan kepakaran Ford dalam aspek reka bentuk, kejuruteraan, ujian serta pengilangan.

“Territory ialah titik penting tentang bagaimana kami boleh berkembang di China. Kami membawakan Territory dalam tempoh yang singkat, berkualiti tinggi dan kos efektif,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ford China, Peter Fleet.

Dihasilkan di kilang JMC di Xiao Lan, pelanggan Territory boleh memilih di antara enjin petrol dengan 48V mild hybrid bersama teknologi Miller-Cycleq atau rangkaian kuasa plug-in hybrid yang dijangka dijual pada tahun depan.

SUV itu juga hadir dengan sistem infotainmen bersama fungsi arahan suara Bahasa Mandarin serta teknologi bantuan pemandu Co-Pilot360TM seperti Adaptive Cruise Control dan FordPass Connect.

Biarpun China kekal sebagai pasaran automatif terbesar di dunia, permintaan terhadap kenderaan bukannya dari bandar-bandar utama seperti Beijing atau Shanghai. Sebaliknya, permintaan datang dari bandar-bandar yang sedang membangun lain.

Territory mengembangkan lagi keluarga SUV Ford yang sebelum ini terdiri daripada Ford EcoSport, Ford Kuga, Ford Edge, Ford Explorer dan Ford Everest.

SUV itu bakal dijual pada awal tahun 2019. Ford juga merancang untuk menawarkan 50 kenderaan baharu ke China menjelang tahun 2025.

Google ads
Back to top button