Buletin

PORSCHE 911 DAKAR – SUPERCAR BUAT MASUK OFFROAD

Porsche minggu lalu melancarkan sebuah varian 911 yang lebih berorientasikan laluan off-road, iaitu Porsche 911 Dakar.

Nama itu juga diambil bersempena dengan kemenangan pasukan tersebut di dalam acara perlumbaan rali Paris-Dakar tahun 1984, dengan angka produksi sebanyak 2,500 unit sahaja.

Ia hadir dengan nadi boxer enam silinder 3.0 liter dengan janaan kuasa 480 PS dan 570 Nm, dipadankan dengan transmisi PDK lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Namun, disebabkan tetapan suspensi dan jarak kelegaan tanah yang tinggi, dibantu dengan tayar off-road Pirelli Scorpion All-Terrain Plus, kelajuan tertinggi Porsche 911 ini dihadkan kepada 240 km/j sahaja.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan spoiler belakang kekal, sistem lif yang boleh meninggikan kenderaan, serta perlindungan bawah badan.

Dua mod pemanduan ditawarkan, iaitu Rallye serta Offroad yang akan meninggikan jarak kelegaan bumi dan menetapkan tahap cengkaman roda maksimum semasa berkelana di atas jalan yang tidak rata.

Terdapat pemasangan rak bumbung (had muatan 42 kg), serta soket 12V untuk opsyen pemasangan lampu LED dan khemah bumbung.

Memastikan keselesaan pemandu dan penumpang adalah tempat duduk jenis bucket, diikuti kemasan Race-Tex dan jahitan Shade Green.

Terdapat pakej yang ditawarkan kepada 2,500 orang pembeli seperti berikut:
– Rallye Sport Package – bar roll-over, tali pinggang keledar enam poin, sistem pemadam api
– Rallye Design Package – kemasan cat dua tona White/Gentian Blue Metallic
– pakej jam tangan Porsche Design Chronograph 1 – 911 Dakar atau Chronograph 1 – 911 Dakar Rally Design Edition

Google ads
Back to top button