Buletin

KERETA API ATAS JAMBATAN JADI HOTEL. BOLEH TRY NANTI

Ia nampak seperti kereta api biasa yang berhenti di atas jambatan. Kruger Shalati: The Train on the Bridge merupakan ikon terbaharu Taman Negara Kruger, Afrika Selatan.

Kereta api berkenaan ialah sebuah hotel yang memiliki 31 bilik. Ia bakal menjadi tarikan terbaharu terutama kepada pengembara-pengembara yang inginkan kelainan dalam percutian mereka.

Lebih menarik, 24 daripada 31 buah bilik yang ditempatkan pada gerabak kereta api itu menawarkan dinding berkaca, membolehkan pengembara menikmati pemandangan sungai yang terbentang luas.  

Baki tujuh bilik lagi akan dibina berdekatan jambatan demi memberi pengalaman yang tersendiri kepada pengunjung.

Tidak lengkap kalau hotel tanpa dilengkapi kolam renang. Kruger Shalati: The Train on the Bridge menyediakan kolam renang tergantung di atas sungai.

Bagi mereka yang ingin menikmati keindahan matahari terbenam, ruang pejalan kaki dibina sepanjang jambatan.

Buat masa ini, hotel itu masih dalam proses pembinaan. Operasi membina bangunan lodge memakan masa lebih lama kerana terdapat sekatan akibat penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, syarikat yang mengendalikan hotel itu optimis, ia dapat disiapkan pada Disember tahun ini.

Gerabak pertama kini sedang dalam pembinaan. Apabila siap kelak, hotel berkenaan akan berada bersebelahan dengan Kem Skukuza, Taman Negara Kruger.

Ia merupakan lokasi terbaik untuk melihat haiwan ‘Big Five’ apabila mengunjungi safari iaitu singa, kerbau, harimau bintang, gajah dan badak.

Kehidupan liar lain dan burung-burung pula dapat dilihat melalui jendela bilik hotel.

“Inspirasi membina hotel lahir daripada sejarah jambatan ini. Pada tahun 1920-an ketika pengisytiharan taman negara, ia merupakan satu-satunya laluan untuk mengunjungi destinasi bersejarah ini dengan menggunakan kereta api.

“Sebahagian daripada perjalanan melibatkan kereta api berhenti di atas jambatan selama semalaman. Ia menjadi salah satu hentian paling popular sepanjang perjalanan 9 hari di laluan ini.

“Kami telah mengambil konsep berkenaan dan menterjemahkannya secara kontemporari,” kata wakil projek berkenaan. – Lonely Planet.

Tags
Google ads
Back to top button