Buletin

XPENG P7 2025 DILANCARKAN DI CHINA – 10,000 TEMPAHAN DALAM 7 MINIT!

Model generasi baharu Xpeng P7 kini rasmi dipasarkan di China dengan harga bermula dari 219,800 yuan (sekitar RM143,000).

Hanya selepas tujuh minit tempahan dibuka, sedan elektrik ini berjaya mencatatkan 10,000 unit pesanan, menjadikannya antara pelancaran paling hangat di pasaran EV tempatan.

Sejak diperkenalkan pada 2020, P7 generasi pertama telah mencapai jualan domestik melebihi 190,000 unit dan turut dieksport ke Eropah serta beberapa pasaran lain.

Kini, versi terbaharu hadir dengan reka bentuk segar, teknologi lebih maju dan kuasa yang jauh lebih mengujakan.

P7 menampilkan gaya liftback dengan bahasa rekaan terbaharu “Xmart Face”. Bahagian hadapan dihiasi jalur LED nipis bersama logo Xpeng, manakala bampar hadapan dilengkapi liang udara aktif untuk mengurangkan seretan angin.

Bentuk bumbung aerodinamik, pemegang pintu tersembunyi serta spoiler aktif membantu menjadikan drag coefficient model ini hanya 0.201 Cd – antara terendah dalam segmennya.

Dari segi dimensi, saiz badannya berukuran 5,017mm panjang, 1,970mm lebar dan 1,427mm tinggi dengan jarak roda 3,008mm. Varian prestasi ditawarkan dengan pintu scissor serta brek Brembo empat piston, selain pilihan rim 20 atau 21-inci.

Bahagian belakang menonjol dengan lampu LED bersambung mengandungi 220 elemen, manakala pintu but yang luas dipadankan spoiler aktif, mampu menjana daya tekan sehingga 900N pada kelajuan 230 km/j.

Selain ruang but utama, terdapat juga ruang kargo tambahan 56 liter di bawah bonet hadapan.

Bahagian dalaman hadir dalam tiga tema warna; kelabu gelap, kelabu cerah dan ungu. Stereng tiga jejari berbalut kulit Nappa dilengkapi butang kawalan pelbagai fungsi termasuk tetapan suspensi udara dan pemanduan pintar.

Antara tarikan utama ialah skrin pusat terapung 15.6-inci yang boleh dipusingkan ke kiri/kanan serta condong ke atas/bawah. Ia digabungkan dengan paparan instrumen LCD 8.8-inci dan paparan kepala AR 87-inci. Sistem audio pula terdiri daripada 23 pembesar suara dengan konfigurasi 7.1.4.

Tempat duduk hadapan menawarkan pelarasan 16 arah lengkap dengan fungsi pemanas, penyejukan dan urutan, manakala ruang kargo belakang berkapasiti 575 liter, boleh diperluas hingga 1,929 liter apabila kerusi barisan kedua dilipat rata.

Dikuasakan sistem elektrik 800V, P7 hadir dalam dua konfigurasi motor:

  • RWD – motor tunggal di gandar belakang berkuasa 362hp.
  • AWD – dwi-motor dengan output gabungan 586hp, pecutan 0-100 km/j dalam 3.7 saat.

Pilihan bateri pula merangkumi 74.9kWh (LFP) dan 92.2kWh (NMC) dengan jarak pemanduan antara 702 km hingga 820 km (kitaran CLTC).

Sistem suspensi menggunakan double wishbone di depan dan five-link di belakang, disokong suspensi udara dua ruang serta penyerap hentak adaptif CDC.

Tambahan, Xpeng melengkapkan P7 dengan tiga cip Turing AI buatan sendiri, setiap satunya menawarkan kuasa pemprosesan 750 TOPS.

Secara keseluruhan, sedan ini memiliki kapasiti pengiraan 2,250 TOPS, menyokong model AI berasaskan penglihatan dan bahasa (VLA & VLM) untuk membantu sistem pemanduan pintar bertindak balas dalam pelbagai situasi jalan raya.

Empat varian ditawarkan di China:

  • Xpeng P7 720 – 219,800 yuan (sekitar RM143,000)
  • Xpeng P7 820 – 239,800 yuan (sekitar RM156,000)
  • Xpeng P7 750 AWD – 259,800 yuan (sekitar RM169,000)
  • Xpeng P7 750 AWD Scissor Doors – 301,800 yuan (sekitar RM196,000)

Dengan angka tempahan awal yang begitu mengagumkan, jelas bahawa P7 generasi baharu ini bersedia untuk mencabar pemain besar lain dalam pasaran EV premium, termasuk Xiaomi SU7!

Google ads
Back to top button